Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli-ahli parlimen PAS menggesa persidangan tergempar Dewan Rakyat, sekurang-kurangnya sehari minggu depan, diadakan bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak.

Sidang pertama sesi kedua dewan akan berlangsung pada 23 Jun ini selepas sesi sebelumnya tamat 29 Mei lepas.

Salahuddin Ayub, yang juga ketua whip PAS, menyerahkan satu surat permohonan kepada yang dipertua Tan Sri Datuk Pandikar Amin Mulia hari ini.

Wakil rakyat Kubang Kerian berkata, kenaikan harga bahan api ini telah memberi kesan berantai dan tekanan inflasi yang menyebabkan rakyat terpaksa menanggung peningkatan kos hidup yang lebih tinggi.

Kenaikan itu, katanya lagi, juga memberi kesan kepada pengangkutan harian rakyat, tetapi seluruh pengangkutan perdagangan, industri dan sektor-sektor ekonomi yang lain termasuk pertanian dan perikanan.

pas parliament session request pc 090608 03 Beliau menjelaskan terdapat pengusaha bas menaikkan harga tambang bas ekoran kenaikan harga petrol secara mendadak.

"Anak saya balik semalam terpaksa bayar RM65, dari Kuala Lumpur ke Butterworth, untuk satu hala," katanya dalam sidang media selepas penyerahan tersebut.

Kelas ekonomi bagi perjalanan tersebut lazimnya RM24.

Surat tersebut telah diterima oleh ketua pentadbir Parlimen, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria (foto, dua dari kiri) di pejabatnya kira-kira jam 11.50 pagi tadi.

Menurut suratnya, Salahuddin (foto, dua dari kanan) berkata kerajaan tidak akan berupaya memberikan satu alasan untuk menyekat kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

"Kita boleh bayangkan tentang kenaikan harga barang-barang yang diangkut dari kawasan perindustrian di Lembah Kelang ke kawasan saya di Kubang Kerian (Kelantan). Sudah tentu kosnya mendadak ekoran kenaikan harga diesel sehingga 40 peratus.

"Ini belum diambil kira kos pembuatan dan pemprosesan yang turut meningkat. Dalam beberapa bulan terdekat ini harga utiliti seperti elektrik pula akan naik," surat itu dipetik.

Turut bersama ketua Pemuda PAS, dua ahli jawatankuasa pusat parti itu Dr Dzulkifli Ahmad (foto, paling kiri) dan Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali - masing-masing ahli parlimen Kuala Selangor dan Titiwangsa.

Dalam sidang akhbar, Dr Dzulkifli meluahkan kekhuatirannya berhubung kenaikan harga petrol dan diesel pada Rabu lalu.

"Apabila mereka membuka pintu kebanjiran, maka tidak ada cara untuk mengawalnya," katanya.

Dr Dzulkifli menyifatkan tindakan kerajaan sebagai "dasar paling ganas" kerana menjejaskan rakyat dan perniagaan.

"Kerajaan ada hak untuk menentukan subsidi dan cukai. Kalau kerajaan tidak mempedulikan rakyat, kerajaan akan menarik balik subsidi.

"Pada masa yang sama juga kerajaan mengenakan cukai daripada levi keuntungan berlebihan. Jadi ia kesan berganda -- satunya ke atas rakyat umum, dan juga kepada industri-industri minyak, gas dan perladangan," katanya.

Dr Dzulkifli, yang juga pengarah Pusat Penyelidikan PAS, meramalkan kuasa membeli rakyat akan hilang ekorang kenaikan minyak itu.

"Inflasi melonjak. (Kegiatan) ekonomi akan menjadi perlahan sebab rakyat tidak punyai keupayaan membeli dengan harga barang yang melonjak, pengangkutan dan sebagainya. Tidak ada permintaan.

"Apabila tidak ada permintaan, tentunya tidak ada keperluan terhadap penawaran. Apabila tidak ada penawaran, bayangkan apa yanga akan berlaku," katanya.

Salahuddin menambah, PAS merancang mengadakan perhimpunan membantah kenaikan minyak pada 13 Jun selepas solat Jumaat di masjid Kampung Baru dan berarak ke KLCC.

"Apa yang kami lakukan yang masih di bawah sistem negara kita yang mengamalkan demokrasi.Hak untuk kami bersuara, dan hak untuk kami menyampaikan pandangan dan hak kami untuk mengadakan apa jua acara bagi untuk mewakili rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS