Barisan Nasional (BN) tidak boleh menafikan bahawa ia perlu bekerja lebih keras untuk meyakinkan golongan muda supaya menyokong BN dalam pilihanraya umum akan datang, kata Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha Pemuda Umno menubuhkan enam sekretariat selepas pilihanraya umum lalu, untuk memenangi golongan muda.
Selepas menjalankan kajian selama tiga bulan selepas pilihanraya umum lalu, Pemuda Umno menubuhkan enam sekretariat - permuafakatan, Peremajaan Umno, Pembelaan Rakyat, Pembinaan Negara Bangsa , Perhubungan Media dan sebuah sekretariat tetap.
"Kita berharap strategi ini diperluaskan kepada Pemuda BN. Ini adalah masanya untuk kita bekerja lebih keras dan memahami kehendak rakyat," kata Mah dalam satu kenyataan hari ini.
"Kita perlu proaktif untuk turun padang. Semua peringkat remaja, termasuk profesional muda, sedang menanti untuk didekati.
"Jadi, perluaskan ia ke peringkat BN di semua peringkat, termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.
Pemuda Gerakan, katanya, percaya inilah masanya bagi BN untuk melangkah ke hadapan selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.
Kalah teruk
Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, BN memenangi 140 kerusi Parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
BN juga kalah di empat negeri - Kedah, Perak, Selangor serta Pulau Pinang yang sebelum ini ditadbir oleh Gerakan - kepada barisan pembangkang yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat.
Pada keseluruhanyam BN hanya memperolehi 51.2 peratus undi popular, berbanding dengan 64.4 peratus pada 2004.
Umno turut kehilangan 30 kerusi apabila hanya mampu mempertahankan 79 daripada 109 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada 2004.
Manakala parti komponen yang lain MCA dan MIC, turut kalah teruk. MCA hanya berjaya mempertahankan 15 daripada 31 kerusi Parlimen yang diwakilinya sebelum ini.
Manakala MIC pula hanya menang tiga kerusi parlimen berbanding sembilan kerusi pada 2004.
Gerakan pula kehilangan Pulau Pinang apabila tidak seorangpun calonnya menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
Kesemua sebelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di Pulau Pinang adalah dari Umno. Gerakan juga hanya menang dua kerusi Parlimen.