Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM minta rakyat tabah
Diterbitkan:  Jun 7, 2008 2:44 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan telah bertahan sebanyak dan selama yang mungkin, untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga, namun, harga komoditi dunia itu telah melonjak naik dengan terlalu tinggi dalam masa yang amat singkat.

Pada Januari 2007, katanya, harga minyak mentah dunia hanyalah sekitar AS$50 setong, tetapi kini - 18 bulan kemudian - ia meningkat lebih 150 peratus ke hampir AS$130 setong dan pakar dunia menjangka ia mungkin terus meningkat ke paras AS$200 setong.

"Dalam situasi ini, hakikatnya perbelanjaan kerajaan tidak akan dapat memenuhi jurang di antara harga terkawal yang rendah dengan harga minyak mentah dunia, walaupun dengan peningkatan perolehan Petronas," tegasnya.

abdullah ahmad badawi pak lah 110907 Perdana menteri berkata, kerajaan sedar, kenaikan harga bahan api menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan rakyat, demikian menurut laporan Bernama.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berhubung kenaikan harga minyak agar mereka benar-benar memahami apa yang sedang dihadapi oleh negara.

"Setiap dari kita ada peranan dan tanggungjawabnya dalam menghadapi suasana getir seumpama ini.

"Justeru, marilah kita bersama-sama mengharungi dugaan ini dengan tabah, demi kesejahteraan kita bersama dan demi masa depan negara ini dan generasi seterusnya," kata perdana menteri.

Tangguh program

Berucap di majlis pengurniaan pingat serta darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Abdullah berkata, situasi ini merupakan cabaran utama negara pada hari

ini dan kerajaan sesungguhnya amat prihatin terhadap perasaan dan taraf hidup rakyat.

Oleh itu, katanya kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kesempitan yang dialami, terutamanya oleh golongan berpendapatan rendah, dengan menambah jumlah bantuan secara langsung dan memperkukuhkan jaringan jaminan sosial.

Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha untuk menjimatkan perbelanjaan sektor awam, memperluaskan senarai barangan kawalan, meningkatkan jumlah kenderaan pengangkutan awam serta menangguhkan program yang tidak memenuhi keperluan terkini.

Namun begitu, katanya masih banyak lagi cabaran yang perlu ditangani demi memastikan negara akan terus melangkah maju ke hadapan.

Beliau berkata antara cabaran itu ialah pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka lembap kesan daripada pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang tidak berkembang dan kesan lanjutan ke atas Eropah Barat serta ekonomi baru muncul dan sedang membangun.

Abdullah berkata namun begitu perkembangan ekonomi negara pada tahun 2007 adalah menggalakkan, sekaligus membuktikan bahawa negara berada pada landasan yang kukuh.

"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar dicatatkan pada kadar 6.3 peratus untuk tahun 2007 walaupun dengan persekitaran ekonomi global yang begitu menduga.

Strategi pragmatik

"Kesemua sektor mencatatkan pertumbuhan yang kukuh terutamanya sektor perkhidmatan, pembinaan, perlombongan dan perladangan. Pertumbuhan permintaan pengguna berada pada paras yang mantap iaitu pada 11.8 peratus," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga berjaya menurunkan kadar defisit negara ke paras 3.2 peratus dan pertumbuhan ini disokong oleh daya ketahanan ekonomi dalaman yang mantap serta struktur ekonomi yang lebih pelbagai.

"Pencapaian ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa melaksanakan dasar serta strategi pengurusan ekonomi negara secara fleksibel dan pragmatik," katanya.

Menurutnya lagi, usaha untuk meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup rakyat memang sentiasa menjadi agenda penting kerajaan.

"Alhamdulillah, pendapatan isi rumah purata di kalangan rakyat Malaysia telah meningkat dari RM3,249 pada 2004 kepada RM3,686 pada 2007.

"Peratusan kemiskinan telah berkurangan dari 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada 2007 manakala golongan miskin tegar pula telah berkurangan dari1.2 peratus pada 2004 kepada hanya 0.7 peratus tahun 2007," kata Abdullah.

Mengenai usaha memerangi rasuah, perdana menteri berkata, tahap penguatkuasaan Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah dipertingkatkan di samping ia akan distruktur semula sebagai sebuah suruhanjaya bagi membolehkan sebuah panel penasihat bebas pencegahan rasuah dan sebuah jawatankuasa Parlimen mengenai pencegahan rasuah diwujudkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS