Pergerakan Pemuda Umno Merbok menganjurkan majlis bersama Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir esok, untuk berdialog mengenai isu-isu semasa yang sedang melanda parti dan negara.
Ketuanya, Abd Karim Ali berkata, kira-kira 500 ahli dan jemputan dijangka menghadiri majlis tersebut di Auditorium Kismet, Kawasan Perindustrian Taman Ria, Sungai Petani mulai 2 petang.
"Kita telah menjemput semua pemimpin dalam bahagian (Merbok) melalui surat. Kita juga telah maklumkan melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) dan surat kepada pemimpin Umno di bahagian yang lain," katanya.
Ketika dihubungi Malaysiakini , Abd Karim berkata, pihaknya mensasarkan golongan profesional dan teknokrat Melayu turut menghadiri dialog tersebut .
"Setakat ini kita mendapat respons (untuk hadir) yang amat menggalakkan," katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga minyak, Abd Karim penduduk di Merbok berasa terkejut bila harga petrol naik 78 sen manakala diesel pula naik RM1.
"Secara umum di Merbok, semua memang terkejut. Mereka tak bersetuju dengan kenaikan harga minyak itu," tambahnya.
Harga minyak
Katanya, kerajaan sepatutnya mempunyai mekanisme untuk menyelesaikan masalah kenaikan tersebut kerana sudah banyak pengalaman dan mempunyai sumber minyak sendiri.
"Jangan buat keputusan mudah untuk mengatasi kenaikan harga minyak," katanya sambil menambah ia menyulitkan orang Melayu terutama yang berpendapatan rendah.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda Bahagian Jerlun, Amran Ali pula berkata, adalah tidak sewajarnya kenaikan harga minyak itu terlalu tinggi.
"Rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak. Rakyat tidak mampu dan rasa tertipu," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyokong kenyataan Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun bahawa langkah kerajaan menaikkan harga minyak adalah terlalu drastik dan tidak boleh diterima rakyat.
"Kita harus jujur dengan diri sendiri, jangan jadi 'yes man', semata-mata nak jaga kepentingan. Cakap apa yang rakyat kata," jelasnya.