Presiden Parti Maju Sabah (Sapp), Datuk Yong Teck Lee mengecam tindakan kerajaan menaikkan secara mendadak harga minyak seperti diumumkan kelmarin.
Sapp, sebuah parti komponen BN, memberi amaran kepada perdana menteri tentang ketegangan besar BN, manakala Pemudanya mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kabinetnya meletakkan jawatan.
Yong, bekas ketua menteri, berkata keputusan kerajaan yang terburu-buru meningkatkan harga minyak boleh memburukkan lagi masalah yang dihadapi BN.
Beliau juga mempertikaikan perdana menteri sama ada beliau sudah mengkaji segala akibat kenaikan harga minyak.
“Jika kerajaan hilang kepercayaan rakyat, maka ia lebih payah untuk mentadbir,” katanya.
Abdullah mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen – dari RM1.92 seliter ke RM2.70. Harga diesel pula meningkat sebanyak 63.3 peratus – dari RM1.58 seliter ke RM2.58.
Kenaikan harga ini dilakukan kerana mahu mengurangkan subsidi minyak yang naik mendadak yang dikatakan sebanyak RM56 billion tahun ini.
Yong juga berkata, wakil rakyat dan kakitangan awam kemungkinan akan merasai lebih tekanan daripada orang ramai agar “berbuat sesuatu” bagi mengurangkan tanggungan ekonomi mereka.
Tambahnya, kenaikan harga minyak dibuat sejurus selepas kenaikan harga beras dan beberapa jenis makanan asas.
“Bagi seseorang yang berpendapatan mencukupi setiap bulan, kenaikan ini menjadi tamparan hebat kerana terpaksa membayar lebih di stesen minyak dan ketika membeli barang dapur,” kata Yong lagi.
Katanya, golongan berpendapatan sederhana dengan gaji antara RM4,000 hingga RM5,000 akan mengalami kesan inflasi akibat kenaikan harga minyak.
Sehubungan itu, Yong meragui kesan positif rebet RM625 untuk pemilik kenderaan dan RM125 bagi pengguna motosikal kerana wujud jurang antara masa wang dihabiskan untuk minyak dengan masa subsidi itu diperolehi.
Yong menambah, orang ramai akan terus bertanya sebab Malaysia sebagai pengeluar bersih petroleum hingga 2014 turut mengalami dampak negatif susulan peningkatan harga minya dunia.
“Orang biasa bingung mengapa mereka terpaksa menanggung beban padahal Petronas mendapat untung yang banyak,” katanya.
Ketua Pemuda Sapp, Au Kam Wah, lebih berterus-terang dengan mendesak pemimpin yang “gagal melindungi kepentingan rakyat” agar melepaskan jawatan.
Dalam kenyataannya dari Kota Kinabalu, beliau berkata pemimpin-pemimpin ini harus membenarkan orang lain yang lebih berkebolehan mengambil alih pucuk kepimpinan.
Wakil rakyat kawasan Elopura itu turut berkata, kerajaan telah mungkir janji untuk tidak menaikkan harga minyak dalam tahun ini seperti jaminan BN pada pilihanraya lepas.
Jaminan seumpamanya, tambahnya, juga diulang oleh menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Datuk Shahrir Samad.
Katanya, pendirian kerajaan seumpama inilah yang menyebabkan mahu atau tidak rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan.
Beliau juga berhujah, langkah menaikkan harga minyak benar-benar bertentangan dengan janji BN untuk memberikan “keselamatan, keamanan dan kemakmuran” dalam menisfesto pilihanraya ke-12.
“(Langkah) ini mencipta tanggapan buruk kepada rakyat bahawa kerajaan bertindak berlawanan dengan kenyataannya sendiri,” katanya.
Beliau juga bimbang, kenaikan mendadak ini akan mencetuskan “tsunami ekonomi” yang akan membebankan masyarakat.
“Rakyat tidak boleh menerima alasan kerajaan bahawa kenaikan terbaru harga minyak demi memberi subsidi makanan dan barang lain.
“Kenaikan harga minyak hanya menyebabkan harga barangan meningkat dan rebet yang diberikan oleh kerajaan tidak signifikan berbanding kos tambahan yang ditanggung oleh rakyat, akibat kenaikan harga minyak,” katanya.
Desakan yang sama disuarakan oleh ahli parlimen DAP Dr Hiew King Cheu yang meminta seluruh anggota kabinet meletakkan jawatan kerana gagal menguruskan kekayaan dan sumbr negara dengan berhemah.
“Lebih baik jika mereka (anggota kabinet) berundur sekarang dan membenarkan Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan untuk menyelamatkan negara ini daripada musnah,” katanya.
Dalam kenyataannya dari Kota Kinabalu semalam, beliau juga menganggap 40 peratus kenaikan harga petrol dan 60 peratus harga diesel sebagai “tidak berasas dan tidak boleh diterima” kerana Malaysia negara pengeksport minyak.
Beliau juga mempersoalkan jika ada sesuatu yang sengaja disorokkan oleh kerajaan mengenai jualan minyak mentah negara.
“Adakah benar minyak mentah negara dijual pada ‘harga tetap’ tanpa membenarkan naik turun harga untuk beberapa tahun?” katanya.
Tambahnya, jika kebimbangannya itu benar berlaku, ia tidak adil kepada rakyat Sabah apabila negeri itu penyumbang utama eksport minyak mentah negara.
Beliau juga menganggap rebet RM625 sebagai “bahan jenaka”.
“Sekurang-kurangnya 10 juta kenderaan di Malaysia yang berhak mendapat rebet minyak. Ia bermakna kerajaan terpaksa membayar sekurang-kurangnya RM6 bilion setahun.
“Kenapa tidak gunakan jumlah ini untuk mensubsidi minyak? Keseluruhan cadangan ini tidak amali dan tidak masuk akal,” jelasnya.