Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai MB S'gor didakwa seleweng
Diterbitkan:  Jun 6, 2008 8:27 PM
Dikemaskini: 5:31 PM

dikemaskini Selangor menyeru Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyegerakan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa seorang pegawai kanan di pejabat menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Penyelewengan itu didakwa melibatkan pengagihan kontrak pembersihan dan kutipan sampah di Petaling Jaya.

"Pentadbiran (kerajaan) ini menyeru pihak BPR untuk mempercepatkan proses siasatan jika terdapat bukti-bukti awal yang kukuh," kenyataan itu, yang dikeluarkan awal malam ini, dipetik.

Kerajaan negeri juga akan menjalankan siasatan dalamannya sendiri, menurut pejabat itu lagi, "kerana mengikut pengalaman lepas, pihak BPR lambat bertindak dan ini akan memberi kesan negatif kepada keberkesanan pentadbitan kerajaan negeri."

khalid ibrahim and selangor state Sekumpulan ahli PKR dilaporkan telah membuat aduan polis berhubung perkara itu kelmarin dan membawa aduan yang sama kepada BPR semalam.

Menurut akhbar Sinar Harian hari ini, empat wakil PKR bahagian-bahagian Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Shah Alam membuat aduan itu dengan harapan "siasatan segera dilakukan kerana perbuatan tersebut menjejaskan integriti pentadbiran Pakatan Rakyat."

Selain mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli parti itu, menurut kenyataan pejabat itu, menteri besar juga berkata kerajaan negeri mempunyai prosedur sendiri untuk memanggil saksi-saksi untuk memberikan keterangan.

"Jika terdapat bukti-bukti kukuh, pihak kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan," katanya dalam kenyataan itu.

Akhbar itu menyebut, jurucakap kumpulan ahli PKR itu Remy Iskandar berkata mereka mempunyai "semua dokumen yang boleh menjadi bukti" aduan mereka.

Beliau bersama tiga yang lain (foto bawah) ke pejabat akhbar itu semalam untuk mendedahkan aduan tersebut.

Beliau juga dilaporkan berkata pegawai kanan itu dipercayai telah meluluskan kontrak dan tender kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan menteri besar.

selangor mb sinar harian aca report 060608 Remy juga berkata mereka meragui kelulusan tersebut kerana ia menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa nombor rujukan yang jelas dan pegawai tersebut meminta syarikat-syarikat itu diberikan keutamaan dalam pembahagian kontrak itu.

"Apa yang berlaku seolah-olah menafikan pendirian menteri besar yang sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa setiap pemberian kontrak atau tender akan dilakukan secara terbuka dan menolak usaha pengagihannya menggunakan pendekatan rundingan," beliau dilaporkan berkata.

"Kami tampil untuk untuk membuktikan PKR telus menolak sebarang usaha salah guna kuasa dan cubaan menafikan kepercayaan rakyat terhadap PKR."

Dalam kenyataan yang sama, menteri besar menyeru kepada pengadu kes tersebut agar menyalurkan maklumat lanjut kepada pejabatnya.

ADS