Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Dr Tan Kee Kwong berkata tindakan pimpinan parti itu menggantung keahliannya - selepas menerima tawaran jawatan dalam kerajaan Selangor - menunjukkan seolah-olah parti itu "sekali lagi tunduk kepada tekanan Umno".

Katanya, ini kerana tindakan terhadapnya mula diambil selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesanya keluar dari Gerakan kerana menerima tawaran jawatan tersebut.

tan kee kwong and gerakan Najib dilaporkan berkata, pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan itu tidak boleh mengekalkan kedudukannya dalam komponen BN setelah menyertai kerajaan pembangkang.

"Adakah kita tunduk sekali lagi kepada tuntutan Umno. Saya ingin bertanya kepada pucuk pimpinan (Gerakan), adakah kita yang menguruskan parti kita atau Umno yang menguruskannnya?" soalnya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan malam Rabu lalu, untuk menggantung keahliannya sementara menunggu tindakan disiplin diambil terhadapnya.

Menurut Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Chia Kwang Chye, mengikut Artikel 17 perlembagaan parti itu, Tan juga diminta memberi sebab mengapa beliau tidak patut disingkirkan dari Gerakan.

"Beliau diberi tempoh satu (1) minggu untuk menjawabnya," kata Chia dalam satu kenyataan hari ini.

Berkhidmat untuk rakyat

Bulan lalu, Tan menerima pelantikan mengetuai pasukan petugas bagi memperbaiki pentadbiran dan dasar berhubung masalah pemilikan tanah di Selangor.

Tan, 61, yang juga bekas timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi, mengikut jejak langkah bekas timbalan setiausaha agung Datuk Lee Kah Choon yang sebelum ini menerima tawaran kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat bagi mengetuai dua agensi kerajaan negeri - investPenang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Lee kemudiannya mengumumkan keluar dari Gerakan.

Tan menjelaskan bahawa beliau menerima tawaran parti Gerakan sebelum ini untuk menyertai politik kerana mahu berkhidmat kepada rakyat.

Tan digugurkan dari bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Segambut dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Atas alasan yang sama, tegasnya, beliau menerima tawaran daripada Menteri Besar Selangor kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengetuai pasukan bertugas tersebut.

Pulih kekuatan parti

Lagi pula, tambah Tan, sebelum ini pun, ada pemimpin pembangkang, antaranya Tan Sri Lee Lam Thye dan Kerk Kim Hock - yang ketika itu merupakan pemimpin DAP - menerima tawaran menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BN.

Sementara itu, Tan berkata, beliau telahpun menjawab surat tunjuk sebab dari pucuk pimpinan parti, pada 4 Jun lalu.

"Sejak menerima surat tunjuk sebab itu, ramai ahli yang meminta saya supaya jangan keluar parti dan membantu memulihkan kekuatan Gerakan.

"Mereka juga menyarankan supaya saya bertanding jawatan naib presiden atau timbalan presiden atau presiden dalam pemilihan parti Oktober depan," katanya lagi.

Tan sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak keluar dari parti itu.

Atas dakwaaan yang beliau tidak berbincang dengan pucuk pimpinan Gerakan berhubung perkara tersebut, Tan berkata:

"Sejak satu setengah tahun yang lalu, saya mahu berbincang dengan pucuk pimpinan, termasuk Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengenai keadaan (Gerakan) Kuala Lumpur...selama satu setengah tahun itu saya tidak berjaya mendapatkan temujanji...jadi untuk apa berbincang dengan mereka?" tambahnya.

ADS