Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan “muafakat baru kebudayaan Malaysia” sebagai pelengkap agenda ekonomi pelbagai kaum PKR esok, kata pembantu kanannya Khalid Jaafar.
Ucapannya itu dijangka disertai lebih 1,000 budayawan, penggiat seni, intelektual dan pemimpin Pakatan Rakyat.
“Ucapan malam itu ke arah mencari muafakat baru kebudayaan. Kalau dalam ekonomi kita ada Agenda Ekonomi Malaysia (AEM), dari segi kebudayaan kita tidak mahu tertinggal,” kata Khalid, juga seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.
“Gagasan ini diilhamkan daripada puisi Usman Awang, ‘Sahabatku’ yang menyentuh kepiluannya terhadap jurang antara kaum yang melebar, jurang antara golongan kaya dan miskin,” katanya.
Khalid, yang juga timbalan pengerusi jawatankuasa Malam Karyawan, berkata Anwar akan menegaskan bahasa Melayu sebagai bahasa yang hidup milik semua bangsa.
“(Maknanya) menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan ketamadunan. Kedua, memperkasakan isi bahasa Melayu,” katanya lagi.
Beliau juga mengkritik bentuk-bentuk kebudayaan kini yang dianggapnya melemahkan dan tidak membuka harapan.
“Bentuk kebudayaan sekarang bersifat sentimental, bermain dengan perasaan, rasa dipinggirkan. Ia tidak memberi harapan sedangkan kebudayaan harus memberi harapan kepada manusia.
“Karya-karya yang memberi harapan ini boleh dilihat dalam puisi-puisi Chairil Anwar dan Usman Awang,” kata mantan setiausaha akhbar Anwar.
Program lebih kurang tiga jam itu yang dianjurkan oleh pejabat menteri besar dijadual bermula 8 malam di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Ia bertujuan menggembling kekuatan budayawan sejak Pakatan Rakyat menguasai beberapa kerajaan negeri, kata Khalid lagi.
“Bagaimana ruang kebebasan yang bakal dijanjikan kepada golongan budayawan bawah Pakatan yang selama ini dipinggirkan oleh BN, lebih jelas sejak (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) memerintah, diteruskan Abdullah (Ahmad Badawi),” katanya.
Menurut setiausaha jawatankuasa jemputan program itu Mohd Fakri Nor Affandi, 1,200 orang mengesahkan kehadiran mereka, termasuk 750 seniman, budayawan dan ahli bahasa.
Dua orang sasterawan negara A Samad Said dan Muhammad Hj Salleh turut hadir pada malam itu.
“Kami jemput semua sasterawan negara, ada yang tidak dapat datang atas alasan kesihatan dan kedua, kerana masa (jemputan) suntuk, mereka tidak dapat hadir kerana ada program lain,” katanya.
Lebih kurang 50 orang wakil rakyat dan pemimpin politik Pakatan turut memeriahkan majlis.
Majlis kebudayaan PKR tersebut diadakan bagi kali kedua tahun ini, setelah pertemuan pertama tiga minggu sebelum pilihanraya umum di kediaman Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, waktu itu setiausaha agung, yang disertai 200 orang karyawan.