Penggiat seni berbelah bagi berhubung kecenderungan campur tangan mufti dalam kegiatan seni budaya, termasuk membantah karya sastera dan melarang penyanyi.
Persatuan Penulis Nasional berkata keputusan mufti mengawal ruang seni budaya adalah "wajar" kerana mereka golongan bertanggungjawab dalam bidang agama.
"Beliau (mufti Perlis) melihat daripada pandangan yang beliau pegang, berpunca daripada fahaman yang beliau pegang. Itulah bidang autoriti beliau, kita mesti terima.
"(Autoritinya) bukan saja dalam bidang agama, (tetapi) termasuk juga politik dan lain-lain. Yang haram tetap haram. Kalau beliau menghukum saya sendiri, saya setuju dan akan kembali ke pangkal jalan," kata setiausaha agungnya SM Zakir kepada Malaysiakini .
Beliau mengulas tindakan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang membantah penerbitan karya penulis terkenal Faisal Tehrani dengan alasan ia "menggunakan hadis palsu" dan "mengagungkan perayaan Syiah."
April lalu, Dr Mohd Asri menyekat penyanyi Faizal Tahir daripada mengadakan persembahan di konsert Jom Heboh di Perlis anjuran TV3 atas alasan membawa imej negatif.
Majlis mufti pula mengharamkan program dua hari itu pada 30 Julai 2004.
Majlis itu - melalui mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria - mengeluarkan kenyataan bahawa konsert itu haram kerana "melalaikan dan menggalakkan maksiat".
Sementara itu pengkritik seni Hasmi Hashim membantah campur tangan mufti dalam kegiatan seni budaya.
"Mana-mana institusi pun tidak patut kawal karyawan," katanya ketika dihubungi mengenai tindakan Dr Mohd Asri menulis surat kepada Harian Metro membantah siri novel Faisal.
Bercakap kepada Malaysiakini minggu lepas, mufti itu turut menyifatkan ‘Bubur Ratapan Asyura’ dalam siri novel Ketupat Cinta sebagai "pembohongan" dan mendorongnya membantah penerbitan tersebut Februari lalu.
Salinan surat kepada ketua pengarang akhbar itu dikirimkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Surat tersebut beredar di internet mulai awal bulan lepas.
Bagaimanapun, tambah Hasmi, jika terdapat tuduhan serius seperti mempromosikan perkauman, seseorang penggiat seni boleh didakwa di mahkahmah.
"Sekiranya melampaui batas kepentingan sosial secara jelas seperti perkauman, ia harus melalui proses dan lunas undang-undang dan dibawa ke mahkamah.
"Tetapi dengan cara menuduh (seseorang penulis sebagai) Syiah, (tuduhan) itu usaha untuk mengekang seniman. (Tindakan mufti) itu tidak seharusnya berlaku dalam usaha kesedaran masyarakat (sekarang) yang mahukan demokrasi yang lebih baik," katanya.
Mengulas tanggapan tindakan mufti Perlis bertentangan dengan ruang demokrasi, Zakir berkata demokrasi mempunyai hadnya dan hal-hal agama tidak boleh dipertikaikan.
"Demokrasi ada hadnya. Seni budaya ada hadnya. Ia (demokrasi dan seni) di bawah agama. Soal perbuatan, amalan (agama) tidak perlu dipertikaikan. Mungkin pendekatannya (mufti Perlis) keras.
"(Tetapi) hukum syariat tidak boleh anggap antikebebasan. Demokrasi, politik, seni di bawah agama. Agama yang paling atas."
Bagaimanapun Hasmi, yang juga ketua bahagian PKR Parit Sulong, pula menyifatkan tindakan mufti itu bertentangan dengan ruang demokrasi.
Beliau sebaliknya mencadangkan langkah berdialog untuk mengatasi ketegangan antara pihak berkuasa agama dengan penggiat seni.
"Cara terbaik adalah berdiolog dengan seniman yang dianggap 'bermasalah' dengan institusi agama. Kalau Faisal bohong (dalam karyanya), dialog mesti wujud dahulu dan tidak boleh ada usaha menyisih (Faisal) mengguna kekuasaan.
"Hak Faisal untuk menulis mesti dijamin. Soal bohong atau tidak, (tuduhan) mesti dibuktikan," kata bekas pelajar bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Jika berterusan campur tangan institusi agama, tambahnya, ia akan menyebabkan proses "balas dendam" yang tiada kesudahan.
"Kesan daripada tindakan ini, akan merebak ke dalam institusi-institusi lain. Suatu masa nanti apabila ada pihak lain menguasai institusi itu, ia akan mewujudkan tindakan balas dendam.
"Yang Syiah akan membalas dendam dengan Sunni. Yang Sunni balas dendam dengan Syiah. Tidak akan selesai masalah sosial," katanya lagi.