Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kedudukan Raja-raja Melayu di negara ini tidak tergugat kerana ia dilindungi oleh perlembagaan negara, kata seorang pemimpin Pemuda Umno hari ini.

Exco pergerakan itu Wan Aziz Datuk Seri Wan Mohamed berkata, isu mengenai Raja-raja Melayu tidak perlu diperdebatkan lagi.

"Kalau orang faham, orang tidak berdebat lagi isu tersebut," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan pengerusi DAP Karpal Singh yang didakwa mempersoalkan kuasa sultan Perak baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata Wan Azizi yang juga pengerusi sekretariat pembinaan negara bangsa, Pemuda Umno akan membuat kajian terhadap kefahaman orang ramai mengenai konsep dan amalan Raja Berperlembagaan.

Kajian tersebut, katanya, turut membabitkan perlembagaan negara serta sejarah bangsa dan ia memerlukan masa selama tiga bulan.

Generasi muda

Sekretariat itu ditubuhkan hasil bedah siasat dan maklum balas yang diterima oleh pergerakan itu selepas pilihanraya umum Mac lalu.

"Kita hendak tahu kefahaman orang ramai terutamanya generasi muda mengenai perkara-perkara tersebut.

"Kami memerlukan masa selama tiga bulan kerana perlu turun ke akar umbi untuk membuat kajian," katanya.

Wan Azizi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit bagi menjayakan kajian terbabit.

Pemuda Umno, katanya, melihat hubungan antara kaum agak lemah terutama di kalangan generasi muda.

"Ini yang kita lihat sekarang ini, sedangkan Pemuda melihat generasi muda untuk membina negara dalam tempoh 50 tahun akan datang," katanya lagi.

Menurutnya, generasi muda perlu tahu perlembagaan negara dan sejarah penubuhan Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS