Pelajar bumiputera yang cemerlang tidak harus bimbang akan gagal mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apabila pengagihannya berdasarkan merit seperti diperkenalkan baru-baru ini, kata timbalan menteri pelajaran.
"Pelajar Bumiputra yang cemerlang tidak harus berasa bimbang mengenai kemungkinan tidak menerima biasiswa sekiranya kelulusan mereka mencapai kriteria yang dinyatakan oleh JPA," kata Datuk Dr Wee Ka Siong.
Dr Wee, yang juga ketua biro pendidikan Pemuda MCA, berkata beliau "sedih dan terperanjat" dengan kenyataan rakan sejawatan dalam Pemuda Umno yang membantah langkah memberikan kuota 45 peratus untuk pelajar bukan bumiputera seperti diumumkan minggu lepas.
Ketua biro pendidikan Pemuda Umno, Ahmad Ikmal Ismail, dilaporkan berkata beliau tidak bersetuju dengan kaedah pengagihan JPA itu, namun bersetuju lebih banyak biasiswa wajar diberikan kepada bukan bumiputera.
"Kami tidak bersetuju dengan langkah menaikkan nisbah itu (daripada 10 peratus) tanpa menambah jumlah biasiswa," beliau dipetik sebagai berkata.
Kaedah menaikkan 45 peratus kuota itu bermakna "700 biasiswa untuk pelajar bumiputera telah hilang," katanya.
Dr Wee berkata, selama ini terdapat pelajar-pelajar yang lebih cemerlang daripada kriteria JPA tetapi gagal mendapat biasiswa kerana sistem pengagihannya tidak mengikut merit.
Akibatnya, tambah ahli parlimen Ayer Hitam lagi, keadaan itu menjadi satu daripada beberapa faktor penyebab pengaliran kepakaran ke luar negara.
"Langkah JPA itu juga akan memastikan pengagihan yang sama rata kerana apabila wujud persaingan, pelajar-pelajar akan dirangsang untuk membuktikan yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, JPA sentiasa menambahkan jumlah biasiswa yang ditawarkannya kepada 2,000 pelajar tahun ini berbanding 900 tempat pada 2004, 1,200 (2005), 1,500 (2006) dan 1,800 (2007).
"Oleh itu keputusan menaikkan peratusan penerima (biasiswa) bukan bumiputera bersesuaian dengan kenaikan jumlah biasiswa yang disediakan," tambahnya.
"Kemasukan ke universiti awam kini berasaskan meritokrasi, oleh itu dengan sejajarnya, dalam memohon biasiswa kerajaan, pelajar Malaysia mesti berjuang untuk mencapai meritokrasi."
Selain Pemuda Umno, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut membantah langkah JPA.
Presiden GPMS Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, pemberian biasiswa perlu mengambil kira bukan sahaja soal merit pencapaian, tetapi juga persoalan merit sosioekonomi rakyat.
Abim menyifatkan langkah itu tidak akan memberikan "keadilan sosial" dan bercanggahan pula dengan semangat hak keistimewaan Melayu.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula membantahnya dengan mencadangkan peruntukan biasiswa diberikan kepada semua.