Tidak mudah menyertai Umno, malah ada usaha sekat-menyekat wujud di peringkat permohonan ahli biasa sehingga dituduh
"parti elit", kata Datuk Mukhriz Mahathir.
Umno menyulitkan penyertaan orang ramai sehingga proses permohonan mengambil masa berbulan-bulan kalau tidak bertahun-tahun untuk diterima.
Exco Pemuda Umno itu berkata masalah tersebut berlaku berikutan wujud anasir "sekat-menyekat" di kalangan pemimpin bawahan yang bimbang kedudukan mereka akan tergugat dengan penyertaan orang baru itu, lapor Bernama .
"Banyak kes macam ini berlaku. Jangan anggap isi borang, bayar yuran keanggotaan RM1, terus boleh jadi anggota Umno," beliau dipetik sebagai berkata.
"Permohonan saya sendiri menerusi Bahagian Jitra (Kedah) pada tahun 2000 ambil masa enam bulan untuk diterima."
Beliau mendakwa, biasanya masalah wujud apabila seseorang pemohon itu golongan muda yang agak berjaya sama ada daripada segi perniagaan atau pendidikan.
"Baru-baru ini semasa saya ke Melaka, ada yang datang memberitahu saya dia baru diterima jadi anggota sebelum pilihan raya umum baru-baru ini walaupun mohon dah enam tahun lalu," katanya, yang juga ahli parlimen Jerlun.
"Setahu saya untuk sertai parti pembangkang agak mudah, ada yang buat menerusi online (dalam talian). Tak banyak kerenah. Umno pun patut mudah," kata Mukhriz lagi.
Ketua bahagian Umno Cheras, senator Datuk Syed Ali Alhabshee mengakui pernah mendengar rungutan serupa.
"Saya ada dengar borang permohonan baru terperap dekat cawangan-cawangan tertentu. Tak tahulah kenapa," katanya, lapor agensi berita itu lagi.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada pemimpin bimbang kedudukan mereka tergugat dengan kemasukan anggota baru itu.
Bagaimanapun, tambahnya, bekas anggota parti pembangkang, khususnya pernah menyertai Umno dan berhasrat untuk kembali, harus melalui satu proses berbeza.
"Mereka ini patut dipanggil temuduga oleh jawatankuasa pengurusan parti, tanya, soal selidik tujuan mereka sebelum diterima semula ke dalam Umno. Kita tak nak mereka ini nanti jadi duri dalam daging," beliau dilaporkan berkata.
Beliau mengulas keputusan bekas ketua Angkatan Muda PKR Mohamad Ezam Mohd Nor dan bekas ketua bahagian PKR Permatang Pauh, Anuar Shaari yang berhasrat kembali kepada Umno.