Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan terhadap pegawai kanan polis disiasat
Diterbitkan:  Jun 1, 2008 1:33 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernand Dompok telah mengarahkan Biro Pengaduan Awam (BPA) menjalankan penyiasatan segera terhadap dakwaan salah guna kuasa oleh pegawai kanan polis dalam isu rampasan tanah di Kampung Tingkayu di Kunak, Sabah.

Dompok berkata pekebun kecil yang terjejas dalam isu itu yang telah mengusahakan tanah berkenaan selama 23 tahun telah berjumpa dengannya di bangunan Parlimen pada hari Selasa dan memberikan penjelasan mengenai isu itu kepadanya.

"Ini merupakan perkara yang serius kerana ia melibatkan pegawai kanan polis. Saya telah mengarahkan ketua pengarah biro Dr Chua Hong Teck untuk menyiasat aduan itu.

"Kami beri jaminan ia akan disiasat dengan adil. Biro akan melayani aduan itu secara adil seperti dijanjikan dalam piagam pelanggan biro," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut laporan Bernama, Dompok berkata biro akan mengadakan mesyuarat khas minggu ini untuk membincangkan perkara itu.

"Jika terbukti bahawa pegawai polis terbabit telah menyalahgunakan kuasa mereka, tindakan segera akan diambil terhadap mereka, tiada siapa mengatasi undang-undang.

"BPA akan bekerjasama dengan agensi relevan lain sebaik sahaja penyiasatan bermula dan semua pihak perlu memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya dan menambah: "Kita tidak mahu melihat kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa terhakis."

Gaji Pati

Pada April, Bernama melaporkan seorang pegawai tinggi penguatkuasa undang-undang bergelar 'Datuk' dan pegawai polis di Kunak sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah Sabah atas dakwaan menawarkan "perkhidmatan perlindungan" kepada syarikat hartanah yang didakwa merampas 787 hektar ladang sawit milik para pekebun kecil.

Sebagai balasan kepada "perkhidmatan mereka" syarikat itu yang turut terbabit dalam pemberian pinjaman wang, dilaporkan memberikan pelbagai ganjaran kepada pegawai terbabit termasuk menawarkan saham syarikat itu.

Bernama juga melaporkan syarikat itu telah menggaji lebih 100 pendatang tanpa izin yang juga bertindak sebagai samseng untuk merampas tanah berkenaan yang bernilai kira-kira RM40 juta dan lebih 40 laporan polis telah dibuat antara Januari dan Mac tahun ini di balai polis Kunak tetapi tidak dilayan.

Difahamkan kerajaan negeri turut diberikan taklimat mengenai isu itu ekoran pekebun kecil terbabit turut mendakwa beberapa pegawai pejabat tanah dan ukur mungkin terlibat dalam skandal itu.

Sementara itu, seorang daripada pekebun kecil terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Anthony, 50, memberitahu Bernama sepucuk surat aduan rasmi telah diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri pada hari Selasa.

"Dalam surat itu kami meminta Menterinya Datuk Seri Syed Hamid Albar mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai polis terbabit yang gagal menjalankan tugas mereka dan menyalahgunakan kuasa.

"Kami mempunyai keterangan untuk membuktikan aduan itu dan kami berharap mimpi ngeri yang kami hadapi akan berakhir secepat mungkin," katanya.

ADS