Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Perhalusi permohonan Ezam
Diterbitkan:  May 31, 2008 5:21 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Pertimbangan untuk menerima permohonan kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Nasional (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor ke dalam Umno perlu diperhalusi dan difikirkan semasak-masaknya oleh kepimpinan parti, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata permohonan Ezam dan beberapa bekas ahli PKR yang lain itu juga perlu melalui prosedur biasa parti tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka.

"Proses permohonan perlu melalui prosedur biasa di mesyuarat Majlis Tertinggi, sebelum itu Jawatankuasa Pengurusan, barulah kita lihat kewajaran untuk terima (permohonan) atau tolak supaya tiada ahli yang kecewa kerana seolah-olah kita (Umno) ketepikan pertimbangan biasa di atas sebab-sebab tertentu."

"Saya tak nampak apa istimewanya kemasukan Ezam. Pada saya kemasukan biasalah. Tetapi dia (Ezam) yang tidak biasa, ada rekod. Kita kena teliti secara halus dan semasak-masaknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan Persatuan Pesara Negeri Johor di Muar hari ini.

Menurut laporan Bernama, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian sebagai mengulas permohonan kemasukan Ezam dan beberapa

pemimpin Pemuda PKR yang lain yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Menurutnya, beliau mendengar terdapat ahli parti yang berasa tidak senang dan kurang selesa tentang betapa mudahnya Umno menerima kembali Ezam, yang juga merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa sebarang usaha menyelidik latarbelakang beliau.

Katanya, peraturan dan prosedur dalam perlembagaan Umno perlu dipatuhi sebelum seseorang yang telah keluar dari Umno dan menentang parti, diterima kembali ke dalam parti.

Ada ahli tidak senang

Prosedur kemasukan ke dalam parti bagi mereka yang telah keluar parti adalah berlainan dengan mereka yang baru mahu memasuki Umno, katanya.

"Ianya berbeza dengan orang baru di kampung-kampung, berbanding dengan orang yang keluar masuk parti dan menentang (Umno). Ada prosedur dan caranya. Bukan lulus sewenang-wenangnya.

"Ada ahli yang kata mereka kecewa kerana mereka sudah lama berjuang dan tidak pernah sedetik sesaat pun meninggalkan parti, tetapi mereka tidak diberikan layanan sebegitu istimewa, itu yang saya dengar," kata Muhyiddin.

Katanya untuk memasuki Umno adalah mudah iaitu dengan menghantar borang permohonan keahlian kepada ketua cawangan.

"Orang yang sudah keluar dari parti, sepatutnya mereka pergi ke cawangan dan serah (borang permohonan) kepada ketua cawangan," katanya.

Ditanya dakwaan bahawa Ezam merupakan "Trojan Horse" bagi pihak pembangkang, beliau berkata, adalah tidak baik untuk mempunyai perasaan syak wasangka di kalangan sesama Islam tetapi dalam masa yang sama, Umno juga perlu berhati-hati.

Mengenai kenyataan Ezam bahawa beliau ikhlas untuk menyertai semula Umno, Muhyiddin berkata, beliau sememang berharap bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu ikhlas dalam permohonannya itu.

"Saya harap dia ikhlas, tetapi ikhlas mana pun dia ada rekod. Ada prosedur yang perlu dipatuhi supaya kita dapat mengawal keahlian kita di dalam keadaan yang baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS