Selangor berterima kasih kepada kerajaan pusat dan juga menteri berkenaan susulan keputusan kabinet hari ini mengarahkan supaya jalan akses - yang menjadi kontroversi berlarutan selama tiga tahun di Lebuhraya Cheras-Kajang - dibuka kepada lalulintas.
Menteri kerja raya Datuk Mohd Zin Mohamed petang ini membuat pengumuman rasmi mengenainya ketika mengadakan pertemuan dengan kira-kira 300 penduduk Bandar Mahkota Cheras (BMC) yang membantah benteng konkrit dibina di jalan tersebut.
Mengulas keputusan tersebut, menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan pusat telah "membuat keputusan yang betul" dengan membenarkan penduduk menggunakan jalan akses seperti sedia kala.
"Oleh yang demikian, kerajaan negeri Selangor berharap semua penduduk akan berpuas hati serta bersyukur dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan pusat," katanya dalam satu kenyataan, lewat petang ini.
"Seluruh rakyat di negeri ini, khususnya penduduk BMC pasti gembira menerima keputusan ini," tambahnya.
Khalid berkata, kerajaan Selangor juga berharap agar Kementerian Kerja Raya dapat membuat "keputusan yang sama" jika berdepan masalah seumpama itu di tempat lain.
Dengan keputusan ini, kata beliau, pihak kerajaan negeri berpendapat tidak perlu lagi untuk memanggil mesyuarat tergempar (EGM) syarikat konsesi lebuhraya tersebut, Grand Saga.
Tiga tahun pertikaian
Pertikaian berhubung tindakan syarikat itu membina benteng menutup jalan akses sejak 2005 tetapi ia sampai ke kemuncaknya pada 21 April lalu apabila penduduk di situ, dengan sokongan beberapa ahli exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat, bertindak memusnahkan benteng.
Grand Saga kemudiannya membina semula benteng di situ, tetapi penduduk bertindak memusnahkannya semula.
Bagaimanapun, percubaan Grand Saga untuk membina benteng konkrit setinggi tiga kaki - bagi kali ketiga - pada malam 8 Mei lalu terganggu, apabila polis melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penduduk yang berhimpun di situ.
Bagaimanapun, kelmarin, penduduk BMC sekali lagi bertindak membuang semula benteng tersebut yang menutup jalan akses tersebut.