Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir dijadual menemui ahli-ahli Umno di Kedah pada 8 Jun ini, difahamkan untuk mendapatkan maklum balas mengenai sokongan akar umbi terhadap pucuk pimpinan parti.
Ahli parlimen Jerlun juga dijangka mengambil peluang itu untuk menerangkan pendirian, serta desakannya supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan.
Mukhriz semalam berkata, ahli Umno peringkat akar umbi mahu satu kaji selidik dijalan bagi mengukur sokongan kepada kepimpinan parti itu sekarang.
Katanya, tinjauan itu boleh dilakukan dengan mengedar borang khas kepada ahli bagi membolehkan mereka menyatakan pendirian sebenar sama ada menyokong kepimpinan sekarang atau sebaliknya.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan Pemuda Umno Kuala Krau, dekat Temerloh, Mukhriz dilaporkan berkata mungkin ramai ahli Umno yang ingin meluahkan perasaan mereka tetapi malangnya hak mereka itu dinafikan oleh pemimpin yang lebih mementingkan kedudukan.
Manakala pada 9 dan 10 Jun depan, Mukhriz akan menumpukan masanya untuk menemui ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi di kawasan parlimennya.
Jumpa rakyat
Menurut setiausaha Pemuda Umno bahagian Jerlun, Amran Ali, di samping itu, Mukhriz juga akan menghabiskan dua hari untuk mendengar masalah rakyat pelbagai kaum di kawasannya.
Katanya, semua perjumpaan yang dirancang itu bertujuan mengukuhkan lagi sokongan terhadap Mukhriz, khususnya di negeri Kedah.
"Kita akan berjumpa dengan ahli-ahli Umno dan orang kampung, tetapi sebaliknya, akan menumpukan kepada kelompok-kelompok kecil.
"Kita tidak menumpukan program-program besar kerana kemungkinan memerlukan permit," kata Amran kepada Malaysiakini hari ini.
Sambut Dr M
Melalui pertemuan-pertemuan tersebut, Mukhriz akan menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan dan memberi penjelasan mengenai isu-isu berkaitan dengan Umno.
"Penerangan itu juga akan ditumpukan kepada kenapa dan mengapa Datuk Seri Abdullah harus letak jawatan," katanya.
Amran menjelaskan, pergerakan Pemuda Umno di Kedah, terutamanya di Jerlun, melihat Mukhriz sebagai wakil rakyat yang lantang dan memahami aspirasi rakyat yang harus diketengahkan.
"Beliau adalah seorang yang lantang dan Pemuda haruslah menjadi golongan pendesak dan bukannya jadi ' yes man, yes bos '," katanya.
Pada umumnya, tegas beliau, Mukhriz mendapat sokongan daripada bahagian-bahagian lain Umno Kedah.
"Seluruh Kedah, terutama ahli Umno di peringkat akar umbi berkata mereka memerlukan pemimpin seperti Datuk Mukhriz," katanya lagi.
Amran juga memberitahu seramai 125 ahli dari 80 cawangan di Jerlun telah turun ke ibu negara untuk menyambut kepulangan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Mei lalu.