Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno Jerlun hari ini menafikan ketua bahagian Datuk Abdul Rahman Ariffin mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan beberapa pemimpin utama yang memutuskan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesyuarat pada Khamis lalu itu turut menggesa ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mengurangkan tekanan terhadap Abdullah supaya meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Sebelum ini, setiausaha Pemuda bahagian Jerlun, Amran Ali mendakwa, keputusan mesyuarat tersebut tidak melambangkan suara majoriti di peringkat bahagian kerana ramai pemimpin utama tidak menghadiri mesyuarat itu.

Menurut Amran, mereka yang tidak hadir termasuklah timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, ketua Pemuda dan ketua Wanita.

Ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut, setiausaha bahagian itu Halim Hassan berkata beliau sendiri telah menghubungi semua ahli jawatankuasa (AJK) bahagian untuk memaklum kepada mereka mengenai mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun, Halim berkata, panggilan mesyuarat itu tidak dibuat secara bertulis tetapi beliau memaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Saya menghubungi mereka dengan menghantar SMS (tetapi) yang hadir hanyalah seramai 20 orang sahaja.

'Ada ahli gelisah'

"Manakala ahli jawatankuasa yang tidak hadir, tidak memberitahu sebab-sebab ketidakhadiran mereka," jelas Halim.

Dalam mesyuarat tersebut, katanya, ketua bahagian memberi peluang kepada semua AJK yang hadir untuk bercakap dan memberi pandangan masing-masing mengenai keadaan dalam Umno sekarang.

"Selepas itu, mesyuarat tersebut antara lain memutuskan untuk meminta Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menarik balik keputusan keluar daripada Umno," katanya.

Menurutnya lagi, selain menyokong Abdullah dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, mesyuarat itu juga menyuarakan sokongan terhadap Mukhriz sebagai ahli parlimen Jerlun tetapi meminta beliau mengurangkan tekanan terhadap Abdullah supaya meletak jawatan dalam parti dan kerajaan.

Sehubungan itu, Halim juga menafikan bahawa ketidakhadiran beberapa pemimpin utama bahagian, dalam mesyuarat tersebut, menunjukkan "wujud pergolakan" dalam Umno bahagian.

Ditanya sama ada wujud keretakan di Jerlun, beliau berkata, mungkin ada orang-orang yang rapat Mukhriz beranggapan sedemikian.

Katanya, sebelum berlangsungnya majlis pertemuan antara Mukhriz dengan ahli-ahli Umno Jerlun Jumaat lalu, memang ada antara ketua-ketua cawangan yang bimbang Mukhriz akan keluar parti mengikut jejak langkah bapanya.

"Tetapi selepas Datuk Mukhriz mengumumkan bahawa beliau tidak akan keluar parti, maka gelisah (mereka) bertukar menjadi ceria," katanya.

ADS