Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pusat perniagaan terawal Melayu yang pernah dibangunkan semula dan dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman pada 1967 bakal menyembah bumi selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis merobohkan kawasan itu.

Notis bertarikh 20 Mei lalu memberikan tempoh 30 hari kepada peniaga-peniaga supaya berpindah dan mengosongkan bangunan yang mereka duduki.

Menurut tinjauan Malaysiakini semalam, tindakan DBKL ini mendatangkan kerisauan kepada peniaga yang bertahun-tahun berniaga di Lot 25 Kampung Baru kerana tiada pampasan dan premis perniagaan baru dijanjikan.

Menurut peniaga songkok Mariana Sutan Muda, 73, perbuatan dewan itu tidak berpatutan kerana mereka tidak dimaklumkan tapak baru untuk berniaga.

kampung baru weekend market 260508 03 Katanya, notis merobohkan lot tersebut (foto kiri) - meliputi kawasan-kawasan pasar minggu, gerai Mara, pusat kebudayaan PKNS dan deretan gerai makanan di Jalan Raja Muda Musa - yang disampaikan beberapa hari lalu juga tidak menyatakan jaminan pampasan.

“Mak cik tidak menghalang pembangunan namun perlulah ada caranya dan sesuai. Kalau nak pindahkan anak ayam pun mesti ada kandangnya. Di mana kami akan dipindahkan juga tidak dicakapnya. Kedai sementara juga tidak diberi,” katanya.

“Kami bukan minta banyak pun tapi biarlah ada duit yang diberi. Risau bila kami sendiri tidak diberi tahu untuk ke mana.”

Peniaga kemudahan sewa khemah Hamzah Abdul Hamid, 61, tawaran DBKL tidak mencukupi kerana tiada tapak untuk berniaga disediakan dan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak cukup untuk mereka sekeluarga.

“Sudah kira-kira 40 tahun saya tinggal di Kampung Baru. Saya tidak menolak pembangunan namun biarlah kami diberikan pampasan dan diberikan tempat untuk berniaga. Kami juga mahukan hak untuk kembali berniaga di tempat ini apabila ia telah dibangunkan nanti. Mahu ada hitam dan putih,” katanya.

kampung baru weekend market 260508 04 “Rumah PPR itu juga tidak cukup untuk kami sekeluarga. Di mana nak letak barang-barang ini jika kami berpindah di rumah PPR itu nanti. Tempat untuk kami berniaga juga tidak disediakan dan jika boleh biarlah tempat itu strategik.

“Mula-mula DBKL menyuruh kami pergi mengambil kunci (rumah PPR) tapi kami tidak pergi kerana ikut persatuan. Ini kerana kedai untuk berniaga tidak dapat. Seperti banyak contoh yang berlaku," tambahnya.

Seorang pemilik kedai jahit, 30-an, yang enggan dikenali, tidak menolak kemajuan yang ingin dibawa DBKL tetapi beliau mahu memastikan dapat berniaga semula di situ selepas projek pembangunan tersebut dijalankan.

“Pembangunan itu elok supaya pelancong ramai datang. Dan seelok-eloknya peninggalan sejarah itu dikekalkan.

“Seharusnya ada perjanjian yang munasabah, adanya ganti rugi. Rundingan sepatutnya dibuat oleh pihak DBKL dengan pihak peniaga untuk mendengar luahan hati, bukan dengan melakukan bancian semata-mata," katanya.

"Kami bukan duduk di sini setahun dua tapi bertahun-tahun. Mesti ada hitam putih menyatakan hak kami untuk kembali berniaga di sini."

kampung baru weekend market 260508 ahmad saad Peniaga kedai runcit bersebelahan tapak pasar minggu, Ahmad Saad, 50 (foto kiri) , tidak berpuas hati dengan tindakan DBKL menghantar notis akan merobohkan premisnya di situ.

"Saya berniaga di sini selama 26 tahun. DBKL tidak sepatutnya buat begini. Ini tindakan tidak adil. DBKL sepatutnya berfikir dua kali sebelum tindakan diambil ke atas kami," tegasnya.

Tambahnya, DBKL sepatutnya memberi tunjuk ajar tentang keusahawanan kepada penduduk dan bukannya bertindak merobohkan premis mereka.

Fauzan Dawan, 49, yang menjual makanan di situ sejak 1987 berkata beliau merupakan generasi kedua yang telah mewarisi perniagaan ayahnya "berasa terhina dan teraniaya" dengan tindakan dewan bandaraya.

"Memang tidak adil, saya bukan pendatang haram. Saya anak Selangor. Saya ada hak terhadap Selangor," jelasnya kepada Malaysiakini , sambil mendakwa Lot 25 milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

kampung baru weekend market 260508 mohamad nazri Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM) tidak menolak pembangunan yang ingin dibuat oleh kerajaan.

“(Kami) tidak menolak pembangunan tetapi apa caranya. Adakah ada jaminan untuk (kami) masuk semula ke sini (selepas dimajukan DBKL)," kata timbalan yang dipertuanya Mohamad Nadzri Abdul Hamid (foto kanan) .

Difahamkan PPKPM telah menyuarakan isu ini kepada ahli parlimen Titiwangsa, Datuk Lo' Lo' Mohamad Ghazali dalam pertemuan mereka kelmarin.

"Kami hanya beri input tentang masalah ini kepada Datuk Lo' Lo'," jelas Mohamad Nadzri.

Tambahnya, bagaimanapun ahli parlimen itu tidak menjamin dapat menyelesaikan masalah tersebut tetapi akan berusaha membawanya ke Dewan Rakyat.

Mohamad Nadzri juga menyatakan PPKPM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap DBKL jika pencerobohan diteruskan.

"Ia melanggar hak asasi manusia dan mencerobohi premis perniagaan (kami)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS