Pulau Pinang akan mengikut jejak Selangor yang melarang sebarang bentuk program mempromosikan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.
"Negeri (Pulau Pinang) akan mengambil tindakan yang sama dalam masa terdekat," kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin kepada Malaysiakini hari ini.
Tarikh pelaksanaannya bagaimanapun tidak dinyatakan.
Beliau bersetuju dengan langkah yang diambil oleh exco hal-ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali seperti diumumkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Wakil rakyat Gombak Setia itu dilaporkan berkata, semua masjid dan surau di Selangor diarah tidak mengadakan sebarang program yang menyentuh konsep Islam itu yang diperkenal perdana menteri sejak empat tahun lalu.
"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.
"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari," katanya.
Mohammad Fairus, yang juga exco hal-ehwal Islam Pulau Pinang, berkata langkah negeri ini tidak bermotifkan politik, sebaliknya untuk "mengembalikan ajaran Islam yang sebenar."
Beliau, juga seorang lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata konsep Islam hadhari menyalahi prinsip sebenar Islam.
"Ajaran Islam sekarang sudah sempurna (seperti dinyatakan dalam al-Quran). Jadi, tidak perlu dibuat sebarang tokok tambah lagi," katanya.
Mohammad Fairus juga menganggap pendekatan Islam hadhari seolah-olah mewujudkan mazhab baru dalam Islam.
"Sedangkan kita tahu, (kemunculan) mazhab dalam Islam diketuai oleh ulama-ulama besar," katanya.
Beliau juga berkata "Islam hadhari" itu salah dari sudut penggunaan bahasa Arab.
"Mana ada Islam hadhari, yang ada hadharah Islamiah (ketamadunan Islam). Kalau orang Arab datang ke Malaysia, dia pun tak faham maksudnya (Islam hadhari)," katanya.
Bagaimanapun Perak, sebuah lagi negeri Pakatan Rakyat, belum membuat sebarang keputusan berhubung larangan tersebut.
"Isu menyokong atau tidak Islam hadhari belum timbul lagi (di Perak), tidak dibincangkan," kata pengerusi jawatankuasa tetap agama, pendidikan Islam, wanita dan kebajikan negeri, Mohd Zainuddin Mohd Yusof.
"Kita ada hal lain yang perlu dibuat dan diberikan keutamaan."
Beliau berkata isu tersebut elok diulas oleh mufti Perak.
Sementara itu, Dr Hassan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berkata, keputusan Selangor tidak melibatkan negeri-negeri lain dalam Pakatan.
"(Larangan) ini adalah pandangan kita sendiri. Negeri lain (dalam Pakatan), terpulanglah kepada mereka.
"Negeri Selangor bukanlah hendak menjuarai tindakan ini. Biarlah mereka (negeri lain) sendiri yang tentukan," kata, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.
Mengulas lanjut pengharaman itu, katanya: "Kita mengambil keputusan tidak mempromosikan Islam hadhari di sekolah, dalam khutbah Jumaat dan program-program keagamaan."
Menurut Harakahdaily.net hari ini, Hassan mengingatkan imam-imam yang membaca khutbah berunsurkan Islam Hadhari akan ditarik balik tauliahnya.
Beliau juga dilaporkan berusaha mengembalikan jawatan penguatkuasa pencegahan maksiat yang dinamakan Badan Amar Makruf Nahi Munkar (Badar) yang dimansuhkan ketika BN mentadbir negeri tersebut.