Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahrir: Umno terlalu tebal feudalisme
Diterbitkan:  May 26, 2008 5:26 PM
Dikemaskini: 12:04 PM

Umno terlalu tebal dengan feudalisme sehingga ia menjadi antara punca parti itu semakin kurang mendapat sokongan orang Melayu, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad.

"Selagi amalan ini tidak dibuang, tidak dihapuskan, Umno tidak akan berjaya sepenuhnya untuk menarik sokongan orang Melayu, dan rakyat amnya," katanya.

Shahrir berkata budaya "feudal" yang dimaksudkannya itu sikap pemimpin bawahan yang "takut bersuara" kerana tidak mahu mengatasi pemimpin atasan, lapor Bernama .

"Mereka takut bersuara kerana takut dikatakan melebih-lebih. Mereka tunggu pemimpin atas bersuara.

"Pemimpin bawahan juga takut bersuara menegur jika apa yang dirasakan mereka tidak kena. Semuanya takut," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sikap itu terbentuk kerana pemimpin berkenaan mahu menjaga kepentingan sendiri.

"Ya, mereka tak nak bersuara takut kedudukan mereka terjejas. Inilah juga masalah dalam parti sekarang. Mereka bukan lagi nak perjuangkan parti dan bangsa, tetapi untuk diri sendiri," katanya lagi.

Shahrir, yang menyifatkan feudalisme itu sebagai "api dalam sekam", berkata pemimpin sedia ada harus berbalik kepada asas penubuhan Umno jika benar-benar sayangkan parti.

"Jika dilihat daripada sejarah Umno, kekuatan Umno sebagai sebuah gerakan popular masyarakat Melayu ialah kerana Umno bertindak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

"Dia (Umno) melihat kepada masalah masyarakat, dan menyelesaikan masalah masyarakat, dia mendengar pandangan masyarakat, Umno menjadi saluran kepada pandangan masyarakat dan ini memberikan satu sistem maklum balas yang demokratik," katanya.

Pada zaman itu juga, tambah Shahrir, apabila pemimpin Umno bercakap sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan, mereka mewakili pandangan orang ramai bukan pandangan sendiri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS