Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shaharin enggan mengulas ura-ura bahawa beliau akan menyertai Umno bersama bekas ketua Angkatan Muda (AMK) parti itu Mohd Ezam Mohd Nor.
"Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Tetapi saya akan membuat pengumuman selepas saya berbincang dengan Ezam.
"Saya menerima banyak pertanyaan mengenai perkara ini tetapi ketika ini saya enggan membuat komen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau diminta mengulas satu coretan di sebuah blog yang mendakwa "satu pertemuan sulit" antaranya dengan Ezam beberapa minggu sebelum bekas setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaporkan akan menyertai Umno.
Dalam pertemuan tersebut, menurut blog itu lagi, Mohd Ezam meyakinkan bekas calon parlimen Rembau itu agar turut menyertai Umno "bagi mengukuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyekat kemaraan penentang-penentang perdana menteri".
"Dengan ini 'reformasi' dan perang melawan rasuah lebih mudah untuk dilakukan," catatan di blog itu dipetik, yang mendakwa ia menerima maklumat tersebut daripada mesej emel yang dikirimkan kepadanya.
"Ezam juga menjanjikan jawatan besar kepada Badrul jika beliau setuju untuk masuk Umno."
Kedua-duanya aktif dalam AMK sebelum Ezam meninggalkan sayap pemuda itu dan kemudian bersama Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak), yang ditubuhkan Ezam, selepas pemimpin itu meninggalkan PKR.
Badrul terpilih sebagai anggota MPT dalam mesyuarat agung PKR tahun lepas.