Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Batalkan JK bersama M'sia-S'pura
Diterbitkan:  May 26, 2008 2:16 PM
Dikemaskini: 7:36 PM

Parti Rakyat Malaysia (PRM) menggesa kerajaan Malaysia membatalkan niat membentuk jawatankuasa bersama dengan Singapura dalam projek Iskandar Malaysia susulan jatuhnya Pulau Batu Putih ke tangan negara jiran itu minggu lepas.

hassan karim Presidennya Hassan Abdul Karim berkata tidak ada rasionalnya republik itu terlibat dalam pembangunan Malaysia dan tidak mahu kejadian yang sama "berulang seperti yang terjadi pada Pulau Batu Putih".

"Pengajaran yang perlu diambil kini ialah kerajaan Malaysia perlu membatalkan niat untuk membentuk jawatankuasa bersama peringkat menteri-menteri antara Malaysia dengan Singapura dalam projek Iskandar Malaysia," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan penubuhan jawatankuasa bersama itu dalam pertemuan tidak rasmi dengan perdana menteri Singapura di Langkawi tahun lepas.

Susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Jumaat lepas, PRM juga mendesak kerajaan mengambil alih kuasa mentadbir rumah api di Pulau Pisang di perairan Selat Melaka dalam daerah Pontian, Johor.

dap islamic state roundtable 100807 karpal singh Sementara itu, peguam terkenal Karpal Singh menyifatkan tindakan Malaysia merujuk kes Pulau Batu Puteh ke ICJ tanpa dokumen kukuh sebagai "bodoh sombong".

"Bodoh sombong bagi Malaysia mengemukakan kesnya di ICJ tanpa surat penting ini," kata pengerusi DAP, mengulas kenyataan duta besar Tan Sri Abdul Kadir Mohamad yang mengakui kegagalannya mengesan sepucuk surat tentang kedaulatan pulau itu yang terletak di luar pantai tenggara Johor.

Malaysia gagal mendapatkan naskhah surat permohonan gabenor British, waktu itu yang berpangkalan di Butterworth, untuk membina rumah api Horsburgh di pulau itu kepada Temenggong Johor walaupun naskhah jawapan Sultan Johor pada 1884 dalam simpanan negara.

"(Pasukan) Malaysia harus menyalahkan diri sendiri atas sikap tidak cekap menyediakan kes ini di depan ICJ," katanya.

"Tanpa dokumen ini, tiada sebab ICJ akan menganugerahkan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Malaysia."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS