Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kini dipercayai wujud dua puak dalam Umno bahagian Jerlun - satu menyokong ahli Parlimennya, Datuk Mukhriz Mahathir manakala satu lagi puak menyokong kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Puak yang menyokong Abdullah sebagai perdana menteri serta presiden Umno, diketuai oleh ketua bahagian Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin.

mukhriz mahathir and umno pemuda Manakala puak yang menyokong Mukhriz pula terdiri daripada barisan kepimpinan Pemuda bahagian.

Menurut setiausaha Pemuda Umno bahagian, Amran Ali, majlis pertemuan antara Mukhriz dengan ahli dan pemimpin Umno bahagian, berlangsung di bangunan Wisma Jerlun petang semalam.

Bagaimanapun, katanya, pada malam sebelumnya, Abdul Rahman telah memanggil satu mesyuarat bahagian yang memutuskan menyokong kepimpinan Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta meminta meminta Mukhriz berhenti mengkritik perdana menteri.

Namun begitu, Amran berkata, keputusan tersebut tidak melambangkan suara majoriti di peringkat bahagian kerana ramai pemimpin utama bahagian tidak menghadiri mesyuarat itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata, mereka termasuklah timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, ketua Pemuda dan ketua Wanita.

Sehubungan itu, Amran berkata, Pemuda Umno bahagian Jerlun tetap berdiri teguh bersama Mukhriz dalam meneruskan usaha menyampaikan suara rakyat kepada pimpinan tertinggi parti.

Teruskan sokongan

Katanya, pergerakan itu tidak gentar dengan segala kritikan yang dilemparkan terhadap mereka kerana menyokong perjuangan Mukhriz yang juga exco Pemuda Umno Malaysia.

Amran berkata, ketika berucap di majlis semalam, Abdul Rahman memberitahu para hadirin mengenai ketetapan yang diputuskan dalam mesyuarat bahagian tersebut.

Ekoran itu, katanya, separuh daripada hadirin, telah bertindak keluar dewan, kerana tidak boleh menerima ketetapan itu.

"Majoriti ahli tidak boleh menerima ketetapan yang mengkritik Datuk Mukhriz. Akar umbi memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Datuk Mukhriz," tambahnya.

Mukhriz yang berucap sebelum Abdul Rahman, sekali lagi memperjelaskan bahawa beliau tidak akan meninggalkan Umno.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan terus mendesak supaya Abdullah berundur dari jawatan parti dan kerajaan.

Katanya, sebagai ahli Parlimen Jerlun, beliau berjanji tidak akan mengabaikan penduduk di situ.

ADS