Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR hari ini membuat laporan meminta polis menjalankan siasatan terhadap enam individu, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja yang menyiasat skandal klip video Lingam.
Laporan tersebut dibuat oleh ketua AMK pusat, Shamsul Iskandar di balai polis Dang Wangi petang ini.
Dalam laporannya, suruhanjaya diraja itu mengesyorkan supaya mantan perdana menteri itu serta lima orang lagi disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim-hakim.
Lima tokoh tersebut ialah dua bekas ketua hakim negara - Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin - peguam kanan Datuk VK Lingam, bekas menteri pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga setiausaha agung Umno serta tokoh perniagaan Tan Sri Vincent Tan.
Suruhanjaya itu mengesyorkan supaya mereka disiasat bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan.
Dalam laporannya hari ini, Shamsul berkata, siasatan polis itu nanti akan dapat memastikan tahap sebenar sistem kehakiman di Malaysia.
Menurutnya lagi, sekiranya mereka didapati tidak bersalah, proses siasatan polis itu juga dapat membersihkan nama keenam-enam individu berkenaan.
Sehubungan itu, Shamsul memberi tempoh sehingga Rabu depan untuk pihak polis memulakan siasatan terhadap mereka.
Katanya, jika pihak polis gagal berbuat, beliau akan membawa perkara itu terus kepada peguam negara.
30 penyokong
Turut mengiringi Shamsul adalah naib ketua pergerakan itu Khairul Anwar Ahmad Zainuddin dan ketua AMK Wilayah Persekutuan, Md Zaman Md Tasi serta 30 penyokong parti itu.
Sebelum itu mereka berkumpul di depan pusat membelibelah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman dan berarak menuju ke balai polis Dang Wangi di Jalan Raja Abdullah. Seramai 15 anggota polis dilihat mengawal keadaan di situ.
Ketika di balai polis pula - ketika Shamsul membuat laporan pada kira-kira jam 3.30 petang - kelihatan 20 anggota polis mengawal keadaaan di situ.
Oleh kerana hujan turun renyai-renyai, maka para penyokong berkumpul di seberang jalan berhadapan dengan balai polis tersebut, manakala sekumpulan lagi berkumpul di sebuah restoran, bersebelahan balai tersebut.
Mereka melaungkan slogan "tangkap Mahathir" dan "dakwa Mahathir". Laporan dan perarakan itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudiannya, Shamsul berkata dalam inkuiri klip video Lingam itu, timbul isu seolah-olah wujud unsur paksaan dari Tengku Adnan Mansor terhadap bekas timbalan gabenor Bank Negara, Datuk Ahmad Murad supaya membuat pengakuan bahawa ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam urusan kewangan yang tidak betul ketika menjadi menteri kewangan dahulu.
"Jika laporan itu betul, kes itu perlu dibuka semula untuk membersihkan nama Anwar," katanya.
Shamsul juga menjelaskan, esok AMK akan membuat laporan yang sama secara serentak di seluruh negara pada jam 1 tengahari.