Persatuan Nelayan Pengerang 'sedikit terkilan' tetapi akur dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antabangsa (ICJ) bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.
Kira-kira 1,500 nelayan menangkap ikan berdekatan pulau tersebut sebelum pertikaian ke atas haknya bermula 28 tahun lalu.
Apabila pertikaian itu bermula, nelayan tidak lagi dibenarkan oleh pihak berkuasa Singapura menangkap ikan di situ.
Bernama memetik pengerusinya, Abu Bakar Mohamad sebagai berkata, para nelayan merasa sedih kerana tidak dapat kembali ke kawasan berdekatan Pulau Batu Puteh yang
mempunyai sumber ikan yang banyak.
Bagaimanapun, kataya, mereka akan meneruskan kehidupan seperti biasa dan menghormati pulau itu sebagai hak rasmi Singapura.
"Kami terima sahaja dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Cuma sedikit terkilan tapi akur dengan keputusan itu," katanya kepada Bernama.
Salah seorang ahli persatuan itu, Abu Bakar Abdul Rahim, 55, menganggap apa yang berlaku itu adalah ujian daripada Allah dalam usahanya mencari rezeki untuk keluarganya.
"Susah dan bertambah rumit. Terkilan dan sedih pun ada. Saya kena turun laut untuk mencari ikan di kawasan lain," katanya.