Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura manakala Terumbu Karang Tengah milik Malaysia.
Mahkamah itu juga menetapkan bahawa Terumbu Karang Selatan pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana ia berada.
RTM telah menyiarkan secara langsung pengumuman penghakiman tersebut dari Hague mulai jam 4 petang ini.
Penghakiman tersebut diumumkan oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh. Beliau mengambil masa hampir dua jam untuk membaca keputusan tersebut.
Pulau Batu Puteh, yang dipanggil Pedra Branca oleh Singapura, terletak 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusuh di Johor.
Panel 16 hakim membuat penghakiman 12-4 menyebelahi Singapura.
Bagi Terumbu Karang Tengah pula, mereka membuat keputusan 15-1 memihak kepada Malaysia. Begitu juga Terumbu Karang Selatan. Begitu juga dengan Terumbu Karang Selatan.
Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengetuai rombongan Malaysia mendengar penghakiman itu di Hague, menyifatkan keputusan itu sebagai "menang-menang".
Fakta sejarah dan perundangan
Bernama memetik Rais dalam temubual yang disiar secara langsung oleh RTM1, sebagai berkata, walaupun kedaulatan Pulau Batu Puteh berpihak kepada republik itu, namun penting juga dilihat bahawa kedaulatan Terumbu Karang Tengah, yang dikenali sebagai Middle Rocks, diberi kepada Malaysia.
"Keputusan pada pagi ini (waktu Belanda) adalah memberi kemenangan kepada kedua-dua pihak...pada satu peringkat mahkamah ICJ memutus mengikut fakta sejarah dan perundangan antarabangsa serta menimbulkan kesan-kesan pentadbiran
dan lain-lain hal berkaitan tuntutan (Pulau) Batu Puteh.
"Mahkamah memutuskan untuk memberi kedaulatan kepada republik Singapura, tapi pada masa yang sama...ini penting...Pulau Middle Rocks adalah diberi milik kedaulatan kepada Malaysia. Dan ini merupakan satu kemenangan kepada Malaysia jua," katanya.
Mengenai Terumbu Karang Selatan yang juga dikenali South Ledge, Rais berkata, mahkamah menentukan bahawa kedaulatannya tertakluk kepada persempadanan perairan yang dimiliki oleh sesebuah negara.
"Ia mungkin nanti merupakan satu isu yang harus disusul bersama oleh Singapura dan Malaysia menentukan tahap serta status kedaulatan kepulauan tersebut," kata Rais.
Beliau berkata, kedua-dua pihak sedang mengkaji alasan yang diberi oleh mahkamah berkaitan keputusan yang diumumkan hari ini.
Tubuh jawatankuasa
"Jadi kesimpulannya pada pagi ini dalam keadaan win-win situation inilah ita dapat menentukan kedaulatan atas kedua-dua tuntutan berkenaan," katanya.
Rais berkata, susulan keputusan ini, kedua-dua pihak akan mewujudkan jawatankuasa dan perkara selanjutnya akan diumumkan melalui jawatankuasa berkenaan.
Beliau berkata alasan yang diberikan oleh ICJ yang memberi kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura adalah berdasarkan fakta bahawa sejak 1850-1953, Malaysia tidak ada bukti menjalankan apa-apa kegiatan ataupun yang boleh diterima sebagai bukti kedaulatan sama ada pendudukan, pemerintahan mahupun
penyeliaan atas Pulau Batu Puteh.
"Mahkamah juga menegaskan bahawa peta yang tertera dan diperbuat oleh Malaysia itu sesungguhnya mencerminkan juga apa-apa hal yang bersabit tuntutan Singapura. Oleh kerana pulau itu dan juga rumah api yang diletakkan di situ sebagai rumah api Horsburgh adalah milik Singapura," katanya.
Rais berkata surat pegawai yang mewakili setiausaha kerajaan negeri Johor pada 1953 dianggap mahkamah sebagai bukti menyerahkan kuasa dan kedaulatan pulau itu.
"Tuntutan-tuntutan lain yang diperbuat Singapura (juga) meyakinkan mahkamah bahawa Pulau Batu Puteh diserahkan kepada Singapura dalam bentuk pengawasan kedaulatan.
"Dalam konteks yang agak berlainanlah maka mahkamah menentukan Middle Rocks adalah milik dan kedaulatan pada Malaysia," katanya.