Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang exco pergerakan Pemuda Umno berkata, beliau tidak takut berdepan dengan sebarang tindakan kerana menghadiri sidang media Datuk Mukhriz Mahathir yang mendesak perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Saya tidak takut dikenakan tindakan atau dipulaukan oleh exco dan ahli pemuda," kata Kamarulzaman Kamdias.

"Saya juga tidak boleh bertanding jawatan dalam Pemuda lagi kerana telah lebih usia.

"Saya menyokong perjuangan Mukhriz untuk memulihkan semula Umno," tambahnya.

kamarulzaman kamdias Kamarulzaman (foto) berkata demikian ketika diminta mengulas kehadirannya bersama dua lagi exco pergerakan itu - Harison Hassan dan Hazizul Nizam Bidin - dalam sidang media Mukhriz di sebuah hotel di ibu negara Selasa lalu.

Dalam sidang media tersebut, Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun telah mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletakkan semua jawatan - presiden, perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Mukhriz bagaimanapun berkata beliau tidak akan mengikut jejak langkah bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan ibunya Tun Siti Hasmah Mohd Ali keluar daripada Umno.

'Tentukan sikap'

Mukhriz berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negara untuk mendesak Abdullah supaya meletakkan semua jawatan tersebut.

Beliau juga mendakwa, mendapat sokongan semua peringkat, termasuk kalangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Kamarulzaman berkata, sokongan untuk Umno merosot kerana ahli dan rakyat tidak memandang baik kepada pimpinan parti itu.

"Oleh kerana itu, pemilihan pemimpin perlu dibuat oleh ahli peringkat akar umbi dan bukannya di kalangan atasan," katanya lagi.

Pada masa sama, kata beliau, inilah masanya untuk para pemimpin parti yang sebelum ini bercakap mengenai kepentingan parti, menentukan sikap masing-masing.

Kamarulzaman berkata, mereka tidak perlu takut jika berjuang untuk kepentingan dan kesinambungan parti.

"Kelayakan seseorang pemimpin bukan ditentukan oleh kelulusan akademik atau pengalaman dalam politik, tetapi yang lebih penting diterima ahli," katanya.

Manakala Hazizul ketika dihubungi pula tidak mahu memberi sebarang ulasan kerana menurutnya masa tidak sesuai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS