Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyifatkan sebagai aneh bagi bekas ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Ezam Mohd Nor menyertai semula Umno.

keadilan wan azizah Ketua pembangkang itu berkata, ia kerana Ezam sendiri begitu kritikal terhadap parti Umno.

"(Tetapi) ini pilihannya. Selepas apa yang dilakukannya untuk parti, selepas dipenjara, dia memilih untuk kembali semula kepada mereka (Umno)," katanya ketika diminta mengulas laporan media yang Ezam akan menyertai semula Umno.

Wan Azizah bagaimanapun menolak andaian bahawa tindakan Ezam itu akan membawa kerugian besar kepada PKR.

Sebaliknya, kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu, parti itu mempunyai ramai lagi ahli untuk memimpin dan memperkukuhkan parti.

Manakala Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula berkata, tindakan Ezam itu tidak memberi sebarang kesan kepada PKR kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam parti itu.

Bagaimanapun Tian yang juga ahli Parlimen Batu, berkata beliau hanya kesal kerana Ezam membuat pilihan seumpama itu.

'Bukan pilihan bijak'

ezam mohd noor 220507 Ezam - salah seorang pengasas PKR - meninggalkan parti itu tahun lalu kerana tidak sehaluan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Sejak itu, beliau mengetuai Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak). Bagaimanapun, sejak kebelakangan itu, timbul desas-desus, bahawa beliau akan kembali semula menyertai Umno.

Hari ini, Ezam memberitahu Malaysiakini yang beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenainya minggu depan.

Menurut Tian Chua lagi, parti itu akan sentiasa menghargai perjuangan dan sumbangan Ezam.

"Saya rasa beliau telah berkorban untuk perjuangan kita dan beliau telah membuat pendirian yang kritikal untuk membawa perubahan.

"Tetapi apabila perubahan itu telah diterima oleh rakyat, maka adalah aneh untuk menentang arus tersebut - untuk bersama dengan pihak yang kita tentang selama ini," katanya.

"Ini adalah sesuatu yang saya tidak faham dan saya fikir ianya bukan satu keputusan yang bijak," tambahnya.

Reaksi pemimpin Umno

smm meeting with nazri 110907 nazri abdul aziz Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz gembira dengan kepulangan Ezam ke pangkuan Umno.

Beliau berkata, Ezam adalah salah seorang yang paling dipercayainya ketika beliau (Ezam) masih dalam Umno.

"Saya memberi kepercayaan kepadanya untuk menyediakan ucapan saya dan banyak benda lain lagi dan saya amat sedih bila beliau meninggalkan Umno," kata Nazri

"Saya begitu gembira bila mendengar beliau akan menyertai semula Umno. Keahlian Umno adalah terbuka kepada semua orang, mereka yang layak dan mahu menjadi ahli, mesti diterima," katanya.

Menurutnya, dengan kedudukan Umno yang tercorot sekarang, maka parti itu tiada pilihan, kecuali untuk naik semula ke atas.

"Umno akan mempunyai prospek yang lebih baik pada masa akan datang," kata Nazri.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal juga menyambut baik Ezam menyertai semula Umno, dan menegaskan keputusan akhir adalah di tangan perdana menteri.

"Mengapa tidak, sekiranya ia merupakan langkah untuk memperkukuhkan parti," tanya.

Ezam, 40, mengikut Anwar meninggalkan Umno pada 1998.

Ketika itu, beliau merupakan setiausaha politik Anwar dan pernah ditahan di bawah ISA dan menjalani hukuman penjara bagi kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS