Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Agong wajar damaikan Dr M-PM
Diterbitkan:  May 22, 2008 12:40 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Kemelut antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mencapai tahap memerlukan penglibatan Yang di-Pertuan Agong sebagai "orang tengah" untuk menyelesaikannya, kata veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa.

Beliau berkata hanya menerusi campur tangan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai wakil Raja-raja Melayu, kedua-dua pemimpin itu boleh duduk berbincang bagi mengatasi perselisihan pendapat antara mereka.

"Susah nak selesai dah. Tak ada lompang lagi (antara mereka), macam mana nak berbincang. Sebab tu saya ada cadangan, kalau boleh Yang di-Pertuan Agong panggil kedua-dua mereka ini dan berbincang.

"Pada saya tidak ada siapa lagi dah yang boleh menjadi orang tengah, sebab dua-duanya api. Api sama api susah nak dilerai. Veteran (Umno) pun tak laku (untuk jadi orang tengah)," katanya ketika dihubungi Bernama .

Menurut agensi berita itu lagi, Abdul Aziz berkata seperti pepatah Melayu "alam beraja, luak berpenghulu, bersuku-suku anak buah sembah kepala datuk", orang Melayu terikat dengan tradisi yang berakar umbi kepada raja.

Beliau berkata tidak ada salahnya untuk Raja-raja Melayu campur tangan dalam kemelut antara bekas perdana menteri dan penggantinya itu memandangkan Umnolah yang mengembalikan semula kuasa raja.

Elak kehancuran Umno

"Semasa Malayan Union, raja tak ada kuasa langsung kecuali sebagai ketua agama (Islam), tetapi Umno menaikkan balik (kuasa raja), (pengasas parti) Datuk Onn (Jaafar) perjuangkan hak raja Melayu," katanya.

Tambahan pula, yang menjadi pertaruhan dalam isu kedua-dua pemimpin Melayu itu bukan setakat Umno tetapi orang Melayu secara amnya, kata Aziz.

"Saya melihat ini sebagai tanda-tanda kehancuran Umno, dan orang Melayu juga akan terus berpecah. Pak Lah (Abdullah) dah ada kabinet, menang pilihanraya, macam mana nak turun. Takkan kerana sebab itu (Dr Mahathir meninggalkan Umno), beliau (Abdullah) nak letak jawatan.

"Sekarang ramai yang dah nyatakan sokongan mereka kepada Pak Lah, dan yang tak sokong pula tak berani bersuara, senyap-senyap saja. Berpecahlah," katanya.

Abdul Aziz menggambarkan perasaannya terhadap apa yang berlaku kepada orang Melayu sekarang melalui pantun yang berbunyi:

Anak raja menjunjung kayu,

Kayu dibawa dibuat titian,

Malang sungguh anak Melayu,

Sebab pemimpin berdengki-dengkian.

Pak Lah beransur sikit

Bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Aishah Ghani bagaimanapun berpendapat kemelut antara Dr Mahathir dan Abdullah tidak memerlukan penglibatan raja kerana ia adalah perkara dalaman parti.

"Tak usahlah kita nak libatkan Yang di-Pertuan Agong kerana ini soal parti. Lagipun, ini bukan kali pertama Umno menghadapi krisis, malah ada yang lebih teruk. Tapi semuanya kita dapat atasi.

"Lagipun nak panggil mereka berdua ni duduk berbincang bukan senang. Mereka bukan budak-budak," kata veteran Umno itu.

Sebaliknya, Aishah, berkata beliau yakin kemelut Dr Mahathir dan Abdullah dapat diselesaikan "jika Pak Lah beransur sikit".

"Cadangan saya dalam hal ini Pak Lah beritahu bila nak berundur. Dulu dia pernah cakap tapi tak beritahu bila. Jadi sekarang masanya dia beritahu.

"Bukan apa, orang muda sekarang bukan senang nak percaya. Bila ada jangka waktu orang yang harap Pak Lah berundur tak adalah nak gesa dia, sebab dah tahu bila dia nak buat," katanya.

Aishah berkata beliau banyak mendengar "cakap-cakap" daripada kalangan anggota parti sendiri yang sinis dengan kenyataan Abdullah untuk melepaskan jawatan.

"Itulah masalahnya, cuma cakap saja tapi orang tak nampak. Macam kenyataan (timbalan perdana menteri) Datuk Seri Najib (Razak) kata dia akan bincang pasal peralihan kuasa dengan Pak Lah, buatlah cepat. Jangan cakap saja," katanya.

Aishah, 85, berkata sebagai "orang lama" yang membesar di dalam parti beliau sedih dengan apa yang berlaku dalam Umno sekarang.

Pak Lah perlu mengalah?

"Kami ni dah tak boleh buat apa-apa, dah tak ada kuasa, cuma anggota biasa sahaja. Yang kami ada cuma pengalaman dan kasih sayang kami terhadap Umno, dan kerana kasih sayang kamilah kami masih beri pandangan dan nasihat. Sama ada mereka (pemimpin sekarang) nak ikut atau tidak terpulang kepada mereka," katanya.

Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussein pernah menyuarakan pandangan serupa bahawa tidak ada salahnya jika Abdullah mengalah dan membuat langkah pertama menemui Dr Mahathir.

"Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Apatah lagi ia untuk kepentingan Umno dan orang Melayu," kata Ahmad Atory, pensyarah Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-undang Universiti Utara Malaysia.

Bagaimanapun, pada mata kasar, saranan Aishah dan Ahmad Atory, sukar untuk direalisasikan kerana sejak kemelut Dr Mahathir dan Abdullah berlaku, kedua-dua tokoh pemimpin itu pernah mengadakan pertemuan.

Bagaimanapun jelas ia gagal menyelesaikan perselisihan pendapat antara mereka, sebaliknya, Dr Mahathir terus lantang mengkritik Abdullah yang disifatkannya sebagai lemah dan berada di bawah kawalan orang terdekat termasuk keluarga.

Abdullah yang menerima baton sebagai perdana menteri, presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional daripada Dr Mahathir pada 31 Oktober 2003, lebih banyak berdiam diri daripada menjawab kritikan bekas ketuanya itu.

Kemelut itu menyaksikan satu kejutan apabila Isnin lepas, Dr Mahathir yang pernah memimpin Umno selama 22 tahun, mengumumkan keluar daripada parti atas alasan tidak yakin dengan kepimpinan Abdullah.

Tindakan itu dilihat sebagai cubaan terakhir beliau untuk memaksa Abdullah berundur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS