Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Mesyuarat tergempar selama tiga jam Majlis Tertinggi (MT) Umno malam ini berakhir dengan keputusan paling tidak menggemparkan - barisan anggotanya tetap menyokong presiden.

Dalam sidang media kira-kira lima minit sejurus selepas tengah malam, timbalan presiden Datuk Seri Najib Razak berkata anggota-anggota MT menyatakan kesetiaannya kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Antara dua agenda utamanya, mesyuarat tergempar itu yang bermula jam 9 malam membincangkan keputusan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan Umno dua hari sebelumnya.

Najib bagaimanapun tidak menjelaskan butiran perbincangan atau sebarang keputusan tentang bekas presiden Umno itu.

"MT berharap Tun (Dr Mahathir) akan kembali semula kepada Umno suatu hari nanti," katanya.

Ditanya sama ada Umno bersetuju dengan tindakan Dr Mahathir, beliau berkata "(keputusan) itu bukan kehendak kita, Tun sendiri mahu keluar daripada parti."

Agenda kedua mesyuarat berhubung pelan pemulihan politik Umno selepas dilanda krisis terbaru sejak Mac lalu dan kemerosotan sokongan dalam pilihanraya umum lepas.

"Pelan itu menjadi landasan untuk Umno bergerak bersungguh-sungguh dan memperkasakan parti Umno, seterusnya dapat meyakinkan ahli dan juga rakyat," kata Najib.

Satu perjumpaan khas akan diadakan sekali lagi untuk memuktamadkan pelan tersebut.

Desakan exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir agar Abdullah berundur dan tindakan parti terhadapnya bagaimanapun tidak dibincangkan.

"Kita tidak bincang tentang itu hari ini," kata Najib.

Susulan tindakan Dr Mahathir itu, beberapa pertemuan tergempar diadakan, termasuk perjumpaan perdana menteri dengan ahli parlimen Umno semalam.

Dr Mahathir yang menerajui Umno dan kerajaan selama 22 tahun, mengumumkan keluar dari Umno Isnin lalu kerana tidak yakin lagi dengan kepimpinan Abdullah.

Mantan perdana menteri berkata beliau akan kembali menyertai Umno selepas Abdullah meletakkan jawatan.

Tindakan Dr Mahathir itu turut mencetus kebimbangan ramai ahli dan pemimpin Umno akan menurut jejak langkahnya meninggalkan Umno.

Sehingga awal malam ini, Star Online melaporkan bahawa 300 ahli Umno di Merbok (Kedah), 420 (Petaling Jaya Selatan) telah keluar parti manakala 2,000 lagi ahli Umno di Pokok Sena (Kedah) dijangka berbuat demikian.

Turut keluar parti, bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, bekas ahli parlimen Kota Star, Dr Abdul Hadi Derani dan anak lelaki mantan perdana menteri itu, Datuk Mokhzani.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS