Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno bahagian Jerlun akan menganjurkan satu majlis khas untuk menyatakan sokongan padu mereka terhadap kepimpinan ahli parlimen kawasan tersebut, Datuk Mukhriz Mahathir.

Setiausaha bahagian Halim Hassan berkata, selain Mukhriz, Jerlun juga menyokong penuh kepimpinan ketua bahagian Datuk Abdul Rahman Ariffin.

Majlis tersebut yang akan membabitkan kesemua 155 cawangan akan diadakan Jumaat ini di Wisma Jerlun jam 3 petang.

Semalam, Mukhriz yang juga exco Pemuda Umno mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletakkan semua jawatan - presiden Umno, perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Mukhriz bagaimanapun berkata beliau tidak akan mengikut jejak langkah bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan ibunya Tun Siti Hasmah Mohd Ali keluar daripada Umno.

Anak kedua bekas perdana menteri itu Datuk Mokhzani hari ini mengumumkan keputusannya meninggalkan Umno, mengikut jejak langkah bapanya yang berbuat demikian kelmarin.

Selain Mokhzani, 47, yang merupakan bekas ketua Pemuda bahagian Merbok, ketua Umno cawangan Jalan Badlishah di bahagian tersebut mejar (B) Anuar Abdul Hamid turut meninggalkan parti itu.

Sementara itu, ketika ditanya jika ada ahli Umno bahagian Jerlun yang mungkin menurut jejak langkah Dr Mahathir, Halim berkata, setakat ini belum ada sebarang ura-ura ke arah itu.

"Mereka masih setia bersama Umno," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

ADS