Beberapa lokasi di ibunegara dikesan mengalami gegaran berikutan gempa bumi yang melanda Sumatera Utara pada jam 10.26 malam ini.
Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia menyebut gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter itu adalah punca kepada beberapa gegaran di sekitar Lembah Klang.
Gempa bumi itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang ancaman tsunami, demikian menurut laporan Bernama.
Sementara itu, salah seorang penghuni di Pangsapuri Cendana dekat Bandar Sri Permaisuri di sini, Zainal Abidin Razali berkata kejadian itu menyebabkan hampir kesemua penghuni pangsapuri berkenaan panik dan bergegas turun.
Katanya kesan gegaran itu dapat dirasai dengan begitu jelas berikutan kedudukan unit pangsapurinya yang terletak di tingkat 15.
"Saya memang rasa unit rumah saya bergoyang dan nampak dengan jelas bagaimana kipas siling saya berhayun dengan kuat kerana gegaran itu.
Gegar 16 saat
"Ketika ini boleh dikatakan hampir semua penghuni pangsapuri telah turun kerana bimbang gegaran itu akan berulang," katanya kepada Bernama.
Di Bukit Antarabangsa pula, salah seorang penghuni di pangsapuri lima tingkat di kawasan berkenaan, Mohd Fisol Jaafar berkata gegaran itu dirasai kira-kira 16 saat.
"Pada mulanya saya menyangkakan gegaran itu kerana anak lelaki saya menendang sofa yang kami duduki, tetapi setelah diamati ia bukan satu gegaran `biasa'," katanya.
Mohd Fisol berkata beliau mendapat tahu mengenai gempa bumi berkenaan selepas mendengar laporan Jabatan Meteorologi Amerika Syarikat.
Sementara itu, jurucakap bilik gerakan ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata terdapat beberapa laporan mengenai gegaran itu dari sekitar kawasan Sri Hartamas, Cheras dan Loke Yew.
"Gegaran itu dikatakan berlaku selama lebih kurang 15 minit, dan tidak mengakibatkan sebarang kerosakan harta benda atau bangunan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam pada itu, jurucakap di bilik gerakan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Selangor berkata pihaknya menerima aduan berhubung gegaran berkenaan di Seksyen 18, Seksyen 26 dan Seksyen 28 dekat Shah Alam.
Katanya lima angggota telahpun dihantar ke kawasan kejadian untuk melakukan pemantauan.
Shah Alam juga bergegar
Dalam pada itu, jurucakap di bilik gerakan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Selangor berkata pihaknya menerima aduan berhubung gegaran berkenaan di Seksyen 18, Seksyen 26 dan Seksyen 28 dekat Shah Alam.
Katanya lima angggota telahpun dihantar ke kawasan kejadian untuk melakukan pemantauan.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi merekodkan satu lagi gempa bumi berukuran 5.1 skala Richter berlaku pada jam 10.49 malam di Sumatera Utara,kira-kira 408km dari Klang, Selangor.
Gempa bumi yang berukuran sederhana itu tidak membawa sebarang ancaman tsunami.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang mengesahkan berlaku gegaran di beberapa kawasan, termasuk sekitar Seri Kembangan, Bangi, Putra Perdana, Cyberjaya, Puncak Alam, Sungai Chua dan Kajang.
Bagaimanapun, katanya, gegaran lima saat itu tidak melibatkan sebarang erosakan bangunan atau harta benda.
Di Melaka, beberapa lokasi di negeri ini turut merasai gegaran kecil berikutan gempa bumi di Sumatera Utara malam ini.
Gegaran di Melaka
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka berkata pihaknya menerima laporan gegaran dirasai di bangunan Hospital Pantai, Ayer Keroh, Pangsapuri Peringgit Indah di Peringgit, Ujong Pasir dan di Melaka Raya antara pukul 10.40 malam dan 10.52 malam ini.
"Hanya gegaran kecil," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Penghuni sebuah kondominium di Ujong Pasir, Martin Carvalho, 40, berkata ketika beliau dan keluarga berada di ruang tamu tingkat tujuh rumahnya,tiba-tiba beliau terasa gegaran dan pening.
Katanya dalam kejadian pukul 10.40 itu, beliau sambil mendokong anak perempuan berusia lima tahun dan isteri bergegas keluar rumah menggunakan tangga.
"Penghuni lain pun turut sama turun ke halaman kondominium dan selepas menunggu setengah jam dan keadaan didapati selamat, kami naik semula ke rumah," katanya.