Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li tak akan tinggalkan Umno
Diterbitkan:  May 19, 2008 8:36 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata beliau tidak akan mengikuti tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno walaupun beliau beranggapan keputusan itu mungkin baik untuk menyedarkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

tengku razaleigh 02 Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata beliau tidak berhasrat meninggalkan Umno dan akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti itu Disember akan datang.

"Kalau saya keluar daripada parti, saya hendak lawan dengan siapa," katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas majlis ramah mesra anjuran Pertubuhan Perpaduan Melayu Kedah, di Alor Star hari ini.

Tengku Razaleigh berkata beliau bersimpati terhadap Dr Mahathir kerana terpaksa meninggalkan parti dalam keadaan yang dianggapnya sebagai menyedihkan, demikian menurut laporan Bernama.

"Dr Mahathir tidak sepatutnya mengambil tindakan ini (keluar) tapi apakan daya kerana beliau merasakan tiada tindakan yang lebih baik selain untuk keluar parti," katanya.

Tengku Razaleigh berkata beliau percaya Dr Mahathir mengambil tindakan keluar dari Umno kerana terlalu marahkan Abdullah setelah beliau berulang kali meminta perdana menteri meletak jawatan tetapi tidak diendahkan.

Dr Mahathir mengisytiharkan keluar daripada Umno berkuatkuasa serta merta semasa menyampaikan ceramah "Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan Raya Ke-12" di Alor Star pagi tadi.

Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno pernah bertanding merebut jawatan Presiden Umno pada 1987 menentang Dr Mahathir tetapi tewas dengan 43 undi. Beliau menubuhkan dan mengetuai parti Semangat 46 pada 1989 dan menyertai semula Umno apabila partinya dibubarkan pada 1996.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan ada ahli Umno lain akan mengikut jejak Dr Mahathir, Tengku Razaleigh berkata tidak mustahil perkara itu akan berlaku.

"Jika ini berlaku pasti ia memberi kesan mendalam kepada parti jika ramai yang mengikuti jejak Dr Mahathir," katanya.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu mengakui terkejut dengan keputusan Dr Mahathir kerana beliau tidak langsung menjangka bekas perdana menteri itu akan mengambil tindakan tersebut.

Beliau menyifatkan Dr Mahathir sebagai ketua yang mempunyai banyak pengalaman dan percaya beliau telah berfikir secara mendalam dan mengambil kira semua faktor sebelum membuat keputusan keluar parti.

Beliau mengulangi pendiriannya supaya Umno perlu mengadakan mesyuarat perwakilan khas untuk mengembalikan kuasa kepada ahli-ahli parti.

ADS