Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Karpal: Dr Mahathir ahli politik murahan
Diterbitkan:  May 19, 2008 8:22 PM
Dikemaskini: 2:35 PM

Pengerusi DAP, Karpal Singh menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan keluar dari Umno hari ini sebagai "seorang ahli politik murahan".

Beliau juga menyifatkan tindakan mantan perdana menteri itu

bertujuan untuk "menggugat kerajaan" Datuk Seri Abdullah Ahmad

Badawi.

"Beliau dengan jelas menunjukkan bahawa beliau bukan seorang

negarawan. Beliau adalah dan masih merupakan seorang ahli politik

murahan," kata Karpal hari ini.

"Beliau sepatutnya kekal sebagai ahli (Umno) sehingga beliau membersihkan namanya terhadap tuduhan terhadapnya semasa menjadi perdana menteri," katanya.

karpal singh Karpal merujuk kepada syor suruhanjaya diraja yang menyiasat skandal pita video Lingam, supaya siasatan lanjut dijalankan terhadap enam orang, termasuk Dr Mahathir.

Dr Mahathir yang menerajui Umno selama 22 tahun, mengumumkan pagi ini yang beliau keluar dari Umno kerana tidak yakin lagi dengan kepimpinan Abdullah.

Beliau juga menggesa ahli Umno lain supaya mengikut jejak langkahnya tetapi jangan menyertai parti lain, dan kembali ke pangkuan Umno bila pucuk pimpinan parti ditukar.

Karpal bagaimanapun berkata, Dr Mahathir seharusnya tidak panik dan bertindak keluar dari partinya.

"Seorang yang panik memperlihatkan kelemahannya, yang tidak sepatutnya terjadi kepada seorang bekas presiden Umno dan perdana menteri selama lebih 21 tahun," tambahnya.

Karpal mengimbau kembali saat selepas rusuhan 13 Mei 1969, di mana Dr Mahathir telah mengkritik presiden Umno dan perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman secara terbuka.

Katanya, Tunku tidak pernah memaafkan Dr Mahathir yang menyebabkan kejatuhan Tunku apabila terpaksa melepas jawatan

perdana menteri.

Karpal juga menyifatkan Dr Mahathir seorang yang naif apabila menyatakan bahawa para hakim datang melobi kepadanya sewaktu beliau menjadi perdana menteri.

Menurutnya, adalah sukar dipercayai dan naif bagi Dr Mahathir tidak tahu bahawa perbuatan melobi oleh para hakim adalah sesuatu yang salah.

Ahli parlimen Bukit Gelugor itu juga berkata, martabat badan kehakiman negara kini berada di tempat paling bawah ekoran syor-syor suruhanjaya diraja tersebut.

"Ia tidak boleh jadi lebih teruk lagi. Dari segi kredibiliti dan kebebasan kehakiman negara, kita sudahpun berada di bawah sekali," katanya.

Sementara itu, ketua menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng berkata tindakan Dr Mahathir keluar dari Umno itu merupakan 'satu gempa bumi yang melanda Umno selepas tsunami politik pada 8 Mac lalu'.

Manakala presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata tindakan Dr Mahathir itu mencerminkan keadaan yang parah dalam Umno sekarang.

Katanya, tindakan Dr Mahathir itu menunjukkan bahawa Umno sudah tidak layak lagi untuk menerajui negara dan menjadi pelindung orang Melayu," katanya. Berita asal


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS