Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno, tidak sepatutnya berlaku, kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan dalam parti itu.
"Tindakan Tun ini akan menimbulkan banyak masalah, terutama ahli Umno di peringkat akar umbi akan menjadi lemah. Apabila lemah, parti akan menjadi lemah dan kuasa Melayu tidak ada. Sekarang adalah masa untuk menguatkan parti.
"Saya merayu kepada Tun...ini bukan caranya," berkata ketika dihubungi Malaysiakini untuk mengulas pengumuman Dr Mahathir keluar dari Umno pagi tadi.
Dr Mahathir mengambil keputusan tersebut kerana tidak yakin lagi dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri dan presiden Umno.
Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap di majlis bertajuk "Nasib kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di Alor Star.
Syed Ali berpendapat, Tun bertindak keluar dari Umno kerana parti itu tidak membenarkan mesyuarat luar biasa (EGM) diadakan dan tiada satu gerakan dibuat untuk membuat perubahan dalam Umno.
Sehubungan itu, ketua Umno Cheras itu mendesak Majlis Tertinggi Umno, terutama Abdullah selaku presiden, supaya memujuk Dr Mahathir supaya menarik balik keputusannya keluar dari Umno.
Duduk bermusyawarah
Syed Ali juga mendesak agar pimpinan tertinggi duduk bermusyawarah, berbincang dengan Dr Mahathir tentang masalah yang berlaku dalam Umno.
"Kita sayang kepada Tun, kerana Tun adalah pemimpin yang banyak berjasa kepada Umno," katanya.
Ketua Umno Cheras ini juga merayu kepada ahli Umno yang sayangkan parti agar mengenepikan rasa tidak puas hati mereka.
Sebaliknya, kata beliau, mereka hendaklah berusaha untuk menguatkan parti dan bukan melakukan perkara yang akan melemahkan parti.
Syed Ali berkata, beliau banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari ahli Umno di peringkat umbi akar umbi berhubung keputusan Dr Mahathir itu.
"Saya sedang menenangkan ahli-ahli sebab saya sayangkan parti. Saya tak mahu khianati parti," jelasnya lagi.