Seorang anggota Pengaman Kontinjen Malaysia (Malcon) II Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) terbunuh manakala lima rakan setugasnya cedera dalam kemalangan jalan raya di Srifa, 20 km di barat daya Kaokabah, Lebanon Jumaat lalu.
Pegawai Perhubungan Awam Markas Angkatan Bersama Kementerian Pertahanan, Mejar Suleiman Kutti Moideen berkata anggota tentera yang terkorban itu dikenali sebagai Kpl Jun Anak Sang dari Sri Aman, Sarawak yang mati di tempat kejadian.
Menurut laporan Bernama, rakan Jun yang cedera parah dikenali sebagai Sarjan Udara Zaidil Bojei dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Bukit Jugra, Selangor, katanya.
Suleiman berkata empat lagi anggota tentera yang berada di dalam kenderaan perisai pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan itu iaitu Sarjan Syamsul Kemal Abdul Rahman, Lans Kpl Kanan Ahmad Firdaus Tajuddin, Tpr Romei Anak Minit dan Prebet Zulhilmi Mohamed hanya mengalami cedera ringan.
"Kejadian berlaku 12.20 tengah malam (17 Mei) waktu Malaysia atau 7.20 malam waktu tempatan (16 Mei)," katanya kepada Bernama di sini, malam ini.
Suleiman berkata semasa kejadian, keenam-enam anggota pengaman itu dalam tugas mengiring pengambilan anggota Malcon dari Beirut ke Marjayoun.
"Difahamkan kenderaan perisai Condor itu terbalik semasa menaiki bukit," katanya.
Beliau berkata mayat mendiang Jun dihantar ke Hospital Hammoud di Saida untuk dibedah siasat.
Katanya Zaidil yang cedera parah juga dimasukkan ke hospital yang sama untuk rawatan.
"Empat lagi yang cedera ringan pula menerima rawatan di pusat rawatan tentera Blubatt di Tibnin," katanya.
Beliau berkata semua waris keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Suleiman berkata penghantaran balik mayat mendiang Jun sedang diuruskan oleh pasukan UNIFIL Lebanon.
Mayat mendiang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Isnin ini.
"Semua urusan untuk menyambut mayat mendiang sedang dijalankan. Zaidil pula akan diterbangkan ke ibu negara, jika keadaan memerlukan," katanya.