Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap beberapa akhbar yang menyiarkan kandungan laporan suruhanjaya diraja siasatan klip video VK Lingam sebelum ia diumumkan secara rasmi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zaid Ibrahim berkata, tindakan boleh diambil kerana laporan tersebut "rahsia kerajaan yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA)", lapor laman web Utusan Malaysia hari ini
"Kerajaan bimbang dengan kejadian kebocoran ini dan sekiranya ia melanggar undang-undang serta menjejaskan mana-mana pihak, sudah pasti tindakan akan dibuat.
"Tetapi jika sebaliknya, kita masih kena mengatasinya dengan memperkemaskan sistem pengurusan dan prosedur supaya ia tidak berulang," beliau dipetik sebagai berkata selepas merasmikan karnival sukan Kesatuan Sekerja Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) di Kubang Kerian, Kota Bharu.
Beliau mengulas laporan polis yang dibuat JPM semalam terhadap beberapa akhbar yang menerbitkan sebahagian kandungan suruhanjaya itu sebelum kabinet secara rasmi memutuskan untuk berbuat demikian.
Pegawai penasihat undang-undang di jabatan berkenaan Rozielawaty Abd Ghani membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Putrajaya.
Akhbar-akhbar The Star , New Straits Times , Berita Harian dan Sin Chew Daily sebelum keputusan kabinet semalam telah melaporkan butiran dan syor-syor yang dibuat dalam laporan suruhanjaya tersebut.
Dalam blog peribadinya, ketua pengarang kumpulan The Star berkata laporan polis itu membingungkan media, sama ada arus perdana dan juga alternatif, kerana dapatan suruhanjaya tersebut "tidak mengancam keselamatan negara" dan prosiding siasatannya awal tahun ini pula terbuka kepada umum.
"Bagaimana akhbar mendapat maklumat itu harus menjadi kerisauan terakhir kerajaan dan suruhanjaya (diraja)," kata Datuk Wong Chun Wai di blog 'New Malaysia' lewat malam tadi.
"Keutamaannya sekarang ialah memulihkan kembali keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman dan membetulkan apa yang salah."
OSA memperuntukkan, seseorang yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori.
Sementara tokoh utama DAP Lim Kit Siang menuduh Zaid memberi arahan kepada JPM untuk membuat aduan polis, dan tindakan ini bertentangan dengan pandangan menteri itu sebelumnya.
Dalam kenyataan di blognya hari ini, ahli parlimen Ipoh Timur menggesa Zaid menarik balik laporan polis tersebut.
Dalam sidang media yang sama, Zaid dilaporkan menafikan beliau memberikan arahan agar JPM membuat aduan polis.
"Sebenarnya saya tidak pernah arah laporan polis dibuat, kita kena rujuk kepada pihak yang buatnya, mungkin ada kesalahan yang dilakukan (media) tetapi saya tidak mahu komen mengenainya.
"Biasanya kita akan buat laporan polis bila ada kesalahan, jadi saya kena tengok alasan pihak yang dibuatnya. Adalah menjadi amalan biasa sebelum tindakan dapat dilakukan, kita kena tengok dan rujuk alasan dan kesalahan yang dilakukan," katanya, seperti dilaporkan.
Mengulas harga laporan suruhanjaya diraja tersebut yang mencecah harga RM541.60 senaskhah, menurut laman web The Star hari ini, Zaid berkata suruhanjaya itu hanya mencadangkan harganya RM160 sahaja tetapi laporan penuh bersama bukti ditetapkan dengan harga berdasarkan harga kos percetakan.
Beliau dilaporkan berkata soal mengambil keuntungan tidak berbangkit.