Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keputusan kerajaan membatalkan pasportnya suatu tindakan terdesak untuk melumpuhkan kempen politiknya di peringkat antarabangsa bagi membela kaum India di Malaysia, kata pengerusi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) P Waytha Moorthy.

Beliau kini berada di luar negara bagi mendapatkan sokongan antarabangsa mengenai tuntutan Hindraf, terutama berhubung penahanan lima pemimpinnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 13 Disember lalu.

“Tindakan tidak wajar ini telah memberikan kekuatan dalaman diri saya untuk terus berjuang bagi kaum India di Malaysia dan demi membebaskan tanpa syarat rakan-rakan seperjuangan saya yang ditahan secara tidak adil di Kamunting,” katanya dalam kenyataan dari London hari ini.

“Kerajaan boleh merancang sebarang cara untuk mendiamkan saya, tetapi dengan sokongan Makkal Sakthi (kuasa rakyat), itu sahaja sudah cukup membuatkan saya terus berjuang untuk rakyat.”

Lima pemimpin Hindraf berkenaan ialah peguam M Manoharan, yang juga wakil rakyat Kota Alam Shah, P Uthayakumar yang juga adik Waytha Moorthy, V Ganabatirau, R Kenghadharan dan pegawai bank Kvasantha Kumar.

Mereka ditahan bawah ISA selepas terbabit dalam penganjuran demonstrasi di Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Waytha Moorthy berkata, beliau akan terus membawa obor perjuangannya dari London dan menggesa semua penyokong Hindraf bertenang seperti sebelum ini.

"Saya akan selamanya menjadi rakyat Malaysia yang setia dan akan kembali ke Malaysia tidak lama lagi untuk menyambung dan menyempurnakan apa yang telah saya mulakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS