Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semua pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 10A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mesti mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa membezakan kaum dan latar belakang pelajar itu.

"Kita telah memberi harapan besar kepada pelajar-pelajar ini, khususnya yang mendapat 10A1 dan ke atas bahawa mereka layak mendapatkan biasiswa JPA," kata Dr S Subramaniam.

"Apabila keadaan ini tidak berlaku, maka akan wujudlah rasa tidak puas hati khususnya dalam kalangan para ibu bapa dan mereka akan mempunyai tanggapan negatif terhadap kerajaan."

Subramaniam, yang juga setiausaha agung MIC, berkata setiap tahun, ramai pelajar cemerlang yang gagal mendapat biasiswa itu bertemu parti itu untuk menyokong rayuan mereka.

"Tahun ini sahaja, hampir 140 pelajar SPM yang mendapat 9A1 dan ke atas telah mengemukakan rayuan mereka kepada MIC dan sudah tentu mereka akan menunggu jawapan positif daripada presiden MIC berkenaan status rayuan mereka," katanya, dalam sebuah kenyataan hari ini.

"(Perkara) ini berlaku setiap tahun, menjadikannya satu isu yang amat merumitkan dan juga mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar-pelajar berkenaan dan ibu bapa mereka."

samy vellu mic baru  pc 150508 Semalam, presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu meminta Subramaniam sebagai wakil parti itu dalam kabinet mengemukakan rayuan supaya lebih banyak biasiswa JPA diberikan kepada pelajar India untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Samy Vellu juga telah berbincang dengan ketua setiausaha negara Tan Sri Sidek Hassan berhubung perkara tersebut.

Bekas menteri kerja raya itu dilaporkan berkata, hanya 34 pelajar India memperolehi biasiswa JPA tahun ini.

Parti itu menerima 194 rayuan pelajar untuk mendapatkan biasiwa JPA - antara mereka, ada yang memperolehi 12 A1, 11 A1 dan 10 A1 dalam SPM, katanya.

"Saya berharap kerajaan akan menimbangkan rayuan para pelajar ini yang sesetengahnya datang dari keluarga miskin," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Samy juga mencadangkan, JPA terus menawarkan biasiswa kepada pelajar yang memperolehi 9A dalam SPM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS