Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasport ketua Hindraf dibatalkan
Diterbitkan:  May 16, 2008 10:52 AM
Dikemaskini: 1:08 PM

Kerajaan membatalkan pasport pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) P Waythamoorthy, demikian Amnesty International (AI).

Waythamoorthy, yang kini tinggal di London bagi mengelak ditahan sejak Disember lalu, mencari suaka di Britain, kata pengarah AI yang beribupejabat di Washington, T Kumar kepada AFP.

waythamoorthy and malaysia passport "Beliau merancang untuk melawat Washington untuk menemui anggota Kongres Amerika, pemimpin AI dan kumpulan hak asasi manusia di negara itu," kata Kumar.

Waythamoorthy akan bercakap mengenai dakwaan diskriminasi dalam dasar-dasar kerajaan terhadap kaum India di Malaysia serta penahanan lima pemimpin Hindraf di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Lima pemimpin Hindraf itu yang mengetuai perhimpunan yang dihadiri oleh 30,000 kaum India di Kuala Lumpur November lalu, ditahan tanpa bicara di bawah ISA di Kem Tahanan Kamunting, Perak untuk tempoh dua tahun.

Kumar berkata, Waythamoorthy hanya menyedari pasportnya telah dibatalkan ketika pulang ke London dari Geneva selepas mengunjungi pejabat pesuruhjaya hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

hindraf london demo 060208 waythamoorthy "Beliau terperanjat bila dimaklumkan oleh pegawai imigresen Britain bahawa Kuala Lumpur telah membatalkan pasportnya," kata Kumar.

"Ini adalah kali pertama saya mendengar pasport aktivis politik dibatalkan oleh kerajaan negaranya sendiri," tambahnya.

Sehubungan itu, Kumar menggesa perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya "memberi penjelasan penuh mengenai rasional pembatalan tersebut".

Permohonan suaka

Kumar berkata, pihak berkuasa British akan mendengar permohonan Waythamoorthy untuk mendapat suaka politik di negara itu.

Dalam kenyataannya kepada AI, Waythamoorthy berkata kerajaan Malaysia telah membatalkan pasportnya dengan harapan pihak berkuasa Britain akan menghantarnya pulang ke Kuala Lumpur di mana dia boleh ditahan di bawah ISA.

Bagaimanapun, katanya, tindakan kerajaan Malaysia itu menguatkan lagi keazamannya berjuang untuk masyarakat India Malaysia serta pembebasan tanpa syarat lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA.

Semalam, Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di Malaysia - menolak rayuan lima pemimpin Hindraf tersebut supaya dibebaskan dari tahanan ISA.

Peguam mereka akan memfailkan Isnin ini memohon supaya Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusannya itu.

Kaum India merupakan 8 peratus daripada 27 juta rakyat Malaysia. -AFP

ADS