Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rusuhan di kem pelarian di Lenggeng, Negeri Sembilan bulan lalu disebabkan salah guna kuasa pegawai kem dan keganasan yang dilakukan terhadap tahanan, lapor sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini.

"Kami mendapati punca rusuhan itu diakibatkan oleh salah guna kuasa dan keganasan oleh kakitangan (jabatan) imigresen, bukannya penolakan permohonan Suruhanjaya Tinggi Pelarian Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR)," kata tiga NGO itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di pejabatnya pagi ini.

Laporan Tenaganita, Suaram dan Majlis Peguam itu menyebut, sembilan tahanan "ditumbuk, ditendang dan dibelasah oleh lima pegawai".

lenggeng detention camp myanmar burmese detainees incarcerated 220408 Menurut laporan itu lagi, tiga daripada mereka dibelasah lagi sehingga kedengaran jeritan kesakitan oleh tahanan-tahanan lain.

Sembilan tahanan itu - enam warga Burma, dua warga Indonesia dan seorang warga Pakistan - pada awalnya dibawa ke sebuah bilik untuk disoal siasat berhubung penemuan tembakau dan puntung-puntung rokok, bahan-bahan yang dilarang di kem tersebut, sewaktu kakitangan kem menjalankan pemeriksaan pada 8 malam 20 April.

"Warga Pakistan itu Mohammad Noor Basser merangkak keluar dari bilik siasatan. Menurut saksi-saksi, dia (Mohammad) dalam keadaan menyeret tangannya dan mulutnya kelihatan berbuih," laporan NGO itu dipetik.

"Apabila melihat (kesakitan teruk) warga Pakistan tersebut, tahanan-tahanan yang berada di sel mula menjerit kuat-kuat sebagai bantahan dan sebilangannya membaling botol air plastik dari sel mereka."

Pada pagi esoknya, menurut laporan itu lagi, sebelum kejadian rusuhan dan kebakaran di pusat tahanan tersebut, ramai tahanan enggan bersarapan dan mengadakan mogok lapar.

Kira-kira 12 tengah hari 21 April, kata tiga NGO itu, pegawai-pegawai imigresen dan Rela yang bertugas meninggalkan blok tahanan dan membiarkan tahanan terkunci dalam blok masing-masing.

"Menurut beberapa tahanan, sebilangan tahanan lain di Blok B memecah pintu pagar di sekeliling blok itu. Mereka keluar dan membuka pintu-pintu blok lain. Sejumlah tahan lari keluar, sementara yang lain terus tinggal di dalam blok mereka," laporan itu dipetik.

"Tidak lama kemudian, kelihatan asap keluar dari arah pejabat yang terletak di tengah-tengah empat blok (tahanan). Semua tahanan menyelamatkan diri ke kawasan lapang utama."

Siasatan NGO itu mendapati laporan-laporan media tentang kejadian itu mengelirukan dan tidak benar dengan keterangan saksi-saksi dalam kalangan tahanan.

Media arus perdana melaporkan, kira-kira 60 tahanan Burma mengamuk selepas UNCHR melambat-lambatkan proses permohonan mereka.

suhakam lenggeng camp visit 240408 03 Pesuruhjaya Suhakam juga sampai kepada kesimpulan yang sama selepas lawatan suruhanjaya itu tidak lama selepas kejadian.

Dalam pertemuan dengan tiga NGO tersebut hari ini, Datuk N Sivasubramaniam (foto) berkata siasatan suruhanjaya itu mendapati banyak perkara menggemparkan berlaku, termasuk tahanan menunjukkan kesan dicucuk puntung rokok pada mereka.

Katanya lagi, tahanan juga mendakwa mereka didera sewaktu dalam perjalanan untuk dimasukkan ke kem tersebut.

"Kejadian itu pada ringkasnya satu penderaan," katanya.

Memorandum NGO itu juga menyebut, seorang pegawai Rela mengenal pasti 14 orang suspek, termasuk dua warga Burma yang telah dipanggil untuk siasatan kes tembakau sehari sebelum kejadian.

Dua daripada 14 suspek, yang dibawa dalam dua buah van ke ibu pejabat polis daerah Seremban, dicucuk dengan puntung rokok dan dipukul dengan lampu suluh ketika dalam perjalanan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS