Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diselar kerana cuba menampakkan wajah baiknya terhadap mangsa taufan Nargis tetapi melayan dengan buruk pelarian Burma yang berada di negara ini.
Tenaganita menyatakan Malaysia memburu lebih 60,000 pelarian Burma di negara ini "dengan dendam" dan melayan mereka dengan tidak berperikemanusiaan, termasuk di pusat-pusat tahanan.
"Kerajaan tidak boleh berkelakuan seperti junta Burma yang menindas dan menekan rakyatnya di hujung senjata. Pelarian Burma ini datang ke sini kerana nyawa mereka sangat-sangat terancam," kata pengarah badan bukan kerajaan (NGO) itu Dr Irene Fernandez.
"Mereka datang ke negara ini dengan satu-satunya harapan bahawa negara (Malaysia) yang mengamalkan demokrasi dan tidak mengalami konflik boleh melindungi mereka."
Sewaktu melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Myanmar di lobi bangunan Parlimen semalam, Abdullah menyeru seluruh rakyat Malaysia tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa taufan Nargis di Burma.
"Tentunya bukan sahaja di Myanmar, tetapi di mana-mana sahaja berlaku bencana yang besar, kita sebagai masyarakat yang prihatin perlu tampil membantu mereka yang memerlukan," katanya.
Irene menambah, insiden rusuhan di pusat tahanan Lenggeng di Negeri Sembilan bulan lepas membayangkan keadaan buruk yang diterima pelarian.
Beliau juga menggesa kerajaan menyiasat dan mendedahkan laporan yang mendakwa wujud sindiket menjual pelarian Burma yang melibatkan pegawai-pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen.
Dokumentari ‘Pelarian untuk dijual’ yang disiarkan dalam rancangan Edisi Siasat (Mandarin) stesen NTV7 pada 3 Mei lalu menyebut, kakitangan jabatan itu terlibat mengambil wang pelarian-pelarian dengan bayaran RM300 seorang di sempadan Thailand-Malaysia.
Seorang kakitangan imigresen dilaporkan memperolehi kira-kira RM1.85 juta dan satu ejen sindiket pula RM8.64 juta setiap tahun hasil jual-beli ini.
"Sehingga kini, menteri dalam negeri (Datuk Seri Syed Hamid Albar) tidak mendedahkan kepada umum siasatan yang dijalankan terhadap agensi-agensi penguatkuasa ini dan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan mereka bertanggungjawab," kata Irene lagi dalam satu kenyataannya hari ini.
"Ketika tangkapan dan penderaan semakin ditingkatkan, jualan mereka (pelarian) berlanjutan dengan lebih rancak sehingga pelarian terpaksa meninggalkan rumah-rumah mereka di Malaysia."
Irene menggesa perdana menteri menghayati kenyataannya sendiri dengan menghentikan tangkapan pendatang Burma dan membantu mereka.
"Kenapa tidak boleh kita memberikan sokongan dan bantuan kepada pelarian yang berada bersama kita di negara ini?
"Kenapa kita terus menangkap mereka dan menjual mereka sebagai hamba atau mengugut mereka untuk dipindahkan ke Burma ketika kita tahu bahawa nyawa mereka berada dalam bahaya, malah berdepan kematian?"
Malaysia dilaporkan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak US$1 juta (RM3.19 juta) dan bantuan kemanusiaan bernilai RM500,000 kepada mangsa ribut tropika yang melanda daerah persisiran pantai selatan Burma pada 2 Mei lalu.
Bantuan kemanusiaan itu meliputi barangan seperti selimut (5,000 helai), baju T, kain (sarung) batik dan pelikat, biskut kering, mi segera, ubat-ubatan bernilai RM100,000 dan khemah (30 unit).