Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mantan ketua perhubungan PKR Kelantan menafikan laporan media kononnya peletakan jawatannya akibat pergeseran parti itu dengan PAS, khususnya ketika pilihanraya umum lalu.

"Tidak ada pergeseran antara PKR dan PAS.

pkr and kelantan "Semua perbincangan (termasuk, pengagihan kerusi) dengan PAS berdasarkan muafakat," kata Nik Mahmood Nik Hassan kepada Malaysiakini .

Semalam The Star melaporkan beliau telah melepaskan jawatan tersebut, yang disandangnya sejak 2004, "membayangkan kemungkinan pergeseran" dengan rakan gabungannya, termasuk isu pengagihan kerusi parlimen Kota Bharu dan sering mendesak agar pemimpin-pemimpin PKR diberikan tempat dalam pihak berkuasa tempatan.

Nik Mahmood menambah, dalam perbincangan sebelum pilihanraya untuk kerusi parlimen itu yang ditandinginya pada 2004, PAS ingin mengambil semula dan akhirnya ia diputuskan secara muafakat.

"(PKR) menghormati hasrat PAS untuk mengambil balik kerusi parlimen itu," katanya.

Kerusi parlimen ini dimenangi oleh bekas yang dipertua DUN Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah pada 8 Mac lepas.

Mengulas dakwaan bahawa barisan pemimpin PKR di Kuala Lumpur lebih mengutamakan ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berbanding beliau, Nik Mahmood berkata perkara itu tidak berbangkit.

"Saya tidak tahu cerita ini datang daripada (sumber) mana," katanya.

Tambahnya, berita tentang hasratnya untuk meletakkan jawatan telah dimaklumkan kepada pemimpin-pemimpin PKR dan tindakannya tidak mengejutkan.

"Sebenarnya hasrat saya untuk meletakkan telah diketahui oleh rakan-rakan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pilihanraya umum yang lalu," katanya.

Menurut Nik Mahmood lagi, beliau ingin memberi peluang kepada muka-muka baru yang memenangi kerusi untuk memimpin PKR negeri walaupun Anwar sendiri memujuknya untuk mengekalkan jawatannya.

PKR bertanding di lapan kerusi di Kelantan, termasuk tiga kerusi parlimen iaitu Ketereh, Tanah Merah dan Machang.

Ditanya haluan politiknya selepas peletakan jawatan, Nik Mahmood berkata "saya ingin berehat dan membantu PKR di peringkat pusat."

ADS