Lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) akan kekal ditahan di pusat tahanan Kamunting di Taiping, Perak, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk dibebaskan daripada tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam penghakimannya pagi ini, Hakim Besar Malaya yang juga pengerusi panel hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata arahan penahanan yang dikeluarkan oleh menteri keselamatan dalam negeri pada 13 Disember tahun lalu adalah sah dan memenuhi semua keperluan di bawah ISA.
Menurutnya, panel tiga orang hakim mahkamah tertinggi di negara ini bersetuju dengan keputusan pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zainal Azman Abdul Aziz yang memutuskan bahawa menteri berkenaan boleh mengarahkan seseorang itu ditahan mengikut Seksyen 8 ISA pada 26 Februari lalu.
Alauddin berkata, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, atas kapasitinya sebagai menteri keselamatan dalam negeri (waktu itu), mempunyai hak untuk mengeluarkan arahan tahanan dan telah memenuhi keperluan prosedur bawah akta tersebut.
Ia dipersetujui sebulat suara oleh dua lagi hakim - Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Hashim Mohd Yusoff - apabila penghakiman diumumkan pada jam 11 pagi ini.
Mohon semak penghakiman
Keputusan hari ini bermakna lima pemimpin Hindraf itu telah menggunakan semua ruang perundangan dan akan terus ditahan bawah ISA, yang membenarkan seseorang itu ditahan tanpa bicara.
Dalam permohonan habeas corpus mereka, kelima-limanya berhujah bahawa penahanan mereka adalah haram kerana alasan yang diberikan kerajaan tidak jelas mengapa mereka ditahan.
Lima pemimpin Hindraf itu - M Manohan, P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.
Peguam mereka Gobind Singh Deo berkata, beliau kecewa dengan keputusan hari ini dan menambah pihaknya akan memfailkan permohonan Isnin depan supaya Mahkamah Persekutuan menyemak semula penghakimannya.
"Kita kecewa dengan keputusan yang ringkas dan tidak menyentuh isu-isu yang dibangkitkan di segi undang-undang untuk dipertimbangkan.
"Kami berhasrat untuk memohon satu semakan semula dan kami akan mengemukakan permohonan itu Isnin ini," katanya kepada Malaysiakini .
Tahanan-tahanan ISA itu turut diwakili oleh Karpal Singh dan anaknya Ram Karpal. Hadir mewakili kerajaan ialah peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Kelima-lima mereka ditahan mengikut Seksyen 8(1) ISA atas arahan Abdullah.
Mereka dihantar terus ke Taiping untuk ditahan selama dua tahun, tanpa terlebih dahulu menjalani tempoh siasatan selama 60 hari.
Kelima-lima mereka mendapat liputan meluas selepas menganjurkan perhimpunan yang dihadiri oleh 30,000 kaum India di ibunegara pada November lalu untuk membantah peminggiran kaum tersebut.
Pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan tersebut.
Para peguam Hindraf kemudiannya dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan menghasut terhadap kerajaan manakala sebilangan mereka yang menyertai perhimpunan tersebut telah didakwa atas tuduhan menyertai perhimpunan haram dan percubaan membunuh (foto kiri) .
Penyokong mereka bagaimanapun, mendakwa, kelima-lima pemimpin Hindraf itu - empat daripadanya peguam - hanyalah membangkitkan isu-isu yang membabitkan kepentingan kaum India.
Pelbagai pihak termasuk parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MIC, MCA dan Gerakan, turut menggesa kerajaan supaya membebaskan lima pemimpin Hindraf tersebut.