Memang ada pemimpin Umno yang bersikap "dua wajah" apabila bercakap berbeza di dalam dan luar parti seperti tuduhan presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin.
"Memang ada pemimpin dalam Umno, di hadapan Pak Lah dia bercakap lain, dan ketika berada di akar umbi dia bercakap lain," kata ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.
"Sekiranya tidak berpuas hati dengan Pak Lah dan kepimpinan Umno, kemukakan pandangan, dan jangan jadi hipokrit."
Bagaimanapun beliau enggan menamakan pemimpin Umno yang dimaksudkan oleh Abdullah.
"Siapa yang makan cili, dia yang terasa pedas," katanya kepada Malaysiakini .
Semasa berucap di majlis sambutan ulang tahun ke-62 penubuhan Umno, Abdullah mengkritik "pemimpin dua wajah".
"Sudah ada peluang bermusyawarah, bermusyawarahlah kita habis-habisan.
"Jangan kat dalam kata lain, kat luar kata lain pula... kacau-bilau nanti.
"Kita sudah gunakan amalan demokrasi untuk capai keputusan... jadi gunakan sebaik mungkin," katanya di perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hujung minggu lalu.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama pemimpin terbabit.
Setiausaha pergerakan Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau tidak tidak tahu pemimpin yang dimaksudkan "di dalam bercakap lain di luar bercakap lain".
Katanya, kenyataan Abdullah itu sebagai teguran atau nasihat kepada pemimpin Umno khususnya yang hadir di majlis tersebut.
Sementara itu, Syed Ali juga terus menyokong usaha bahagian-bahagian Umno mengadakan mesyuarat luar biasa (EGM) sebagai langkah menyuburkan budaya musyawarah dalam parti itu.
"Mesyuarat luar biasa adalah saluran untuk menyuburkan amalan demokrasi di dalam Umno sendiri," katanya.
"EGM adalah tempat ahli-ahli akar umbi untuk menyatakan pandangan, teguran, respon dan kritikan kepada pemimpin Umno di peringkat bahagian hingga ke peringkat Majlis tertinggi untuk diteliti."
Tidak wajar, tambahnya, tindakan menghalang mesyuarat EGM yang diadakan untuk memperkasakan parti.
"Suara akar umbi harus di dengar agar mengembalikan demokrasi di dalam Umno," katanya.
Hujung bulan lepas, Abdullah menggesa Umno bahagian-bahagian agar tidak mengadakan EGM bagi menumpukan kepada usaha-usaha memulihkan kekuatan parti itu.