dikemaskini Hasrat mengembalikan kepemimpinan Datuk Zaid Ibrahim di bahagian Kota Bharu dianggap melanggar keputusan Majlis Tertinggi Umno dan beliau wajar menunggu pemilihan bahagian yang dijadual Oktober ini.
Seorang pemimpin kanan bahagian memberitahu Malaysiakini hari ini, keputusan MT itu "telah muktamad" diputuskan pada Februari 2006.
MT memutuskan bahawa Zaid perlu bertanding dalam pemilihan bahagian untuk memegang semula jawatan itu selepas penggantungannya sejak Jun 2005 tamat Januari 2007.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dihukum selepas didapati bersalah melanggar peraturan pada pemilihan 2004.
Pemimpin itu, yang enggan dikenali, juga menyifatkan ura-ura membawa kembali Zaid sebagai ketua bahagian sebagai tindakan yang "tidak sesuai dengan masanya" dan "merugikan masa".
"Kalau mahu Datuk Zaid (Ibrahim) jadi ketua semula, tunggulah pemilihan bahagian nanti. Bukan berapa lama lagi dah. Kenapa mahu (tukar ketua bahagian) sekarang?" katanya.
Bahagian yang mempunyai 118 bahagian dengan keahlian kira-kira 14,000 orang kini dipimpin oleh timbalannya Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, yang juga setiausaha politik kepada timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Semalam, seorang ahli jawatankuasa bahagian Wan Ahmad Mokhtar Wan Abdul Rahman menyarankan MT melantik semula Zaid dengan alasan ahli-ahli akar umbi bahagian itu berpendapat kepemimpinan Zaid, bekas ahli parlimen Kota Bharu, itu masih diperlukan.
'Bukan budaya Umno'
Mengulas perkara itu, ketua cawangan Langgar Muda, Datuk Kamaruddin Abdullah pula berkata, sikap engkar pada arahan pemimpin parti bukanlah sebahagian daripada budaya Umno.
"Kita dalam Umno tidak diasuh supaya engkar pada arahan parti. Mesti patuh, hormat pemimpin, patuh pada arahan, jika tidak ada makna sebagai satu parti," kata beliau yang juga bekas pegawai khas Zaid.
"Kita boleh merayu (untuk mengubah keputusan)," katanya, "tetapi keputusan akhir itu terletak pada pimpinan tertinggi dan kita mesti terima setiap keputusan."
Sementara itu, satu lagi sumber menyatakan, usaha membawa kembali Zaid dalam pertandingan akan datang boleh meretakkan perpaduan bahagian yang kini dipimpin oleh Mohd Fatmi.
Menurutnya lagi, pihak yang menyokong Zaid "sebahagian kecil" sahaja dan kumpulan ini disokong lebih kurang 30 ketua cawangan dalam bahagian ini.
Sumber itu mendakwa, Wan Mokhtar yang juga ketua cawangan Telaga Bina sebagai penggerak utama usaha ini.
Menurut sumber, persaingan kumpulan Zaid dan Mohd Fatmi mula muncul apabila Wan Mokhtar menganjurkan perhimpunan ketua-ketua Umno cawangan dalam bahagian pada 19 April lalu.
Seramai lebih kurang seratus ahli menyertai program itu dan kebanyakannya ahli biasa, dakwa sumber itu.
Bagaimanapun, kata sumber lagi, perhimpunan yang digerakkan oleh Wan Mokhtar tidak mendapat restu Mohd Fatmi.