Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Usul tergempar mengenai krisis kemanusiaan di Burma akibat taufan Nargis yang dibawa oleh ketua pembangkang ditolak Dewan Rakyat hari ini.

Usul untuk membincangkan nasib kira-kira 1 juta mangsa taufan itu yang dikemukakan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak diterima dengan alasan Malaysia mengamalkan prinsip berkecuali dalam gabungan negara Asean.

Usul itu menggesa kerajaan Malaysia mengambil inisiatif politik dan diplomatik mendesak kerajaan junta tentera itu menangguh rancangan mengadakan pungutan suara perlembagaan.

Yang dipertua dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, usul itu ditolak kerana tidak memenuhi syarat ketiga iaitu ia tidak perlu disegerakan kerana Malaysia tidak harus mencampuri urusan dalaman negara itu.

Wan Azizah berpendapat alasan yang diberikan merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima dan tidak berperikemanusiaan.

"Alasan cadangan tersebut ditolak tidak dapat diterima kerana kita tidak harus berkecuali dalam isu kemanusiaan, apatah lagi Burma adalah negara jiran dan anggota Asean," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Maka penolakan cadangan tersebut seakan-akan penolakan prinsip kemanusiaan."

Ahli parlimen Permatang Pauh berkata, langkah Burma meneruskan pungutan suara 10 Mei lalu "hanya akan mencerminkan hasrat segelintir rakyat."

"Dalam keadaan bencana yang dihadapi, pungutan suara tersebut terdedah kepada manipulasi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS