Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demo anti-ISA: Hindraf selar polis
Diterbitkan:  May 12, 2008 12:49 PM
Dikemaskini: May 13, 2008 4:09 AM

Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) menyelar tindakan polis menahan tujuh aktivis dalam demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam.

Dalam kenyataannya hari ini, pengerusi badan itu P Waytha Moorthy berkata tangkapan itu bertujuan menakut-nakutkan orang ramai agar tidak mempersoalkan tindakan polis.

"Suatu yang mengganggu apabila polis berasa tertekan dengan laporan-laporan yang dibuat oleh orang ramai dan tuduhan bukan-bukan terhadap mereka kerana membuat lapotan polis," katanya.

Tujuh orang ditahan termasuk seorang penulis blog dan seorang aktivis wanita, sewaktu menyertai demonstrasi anti-ISA selama 45 minit di George Town, Pulau Pinang pagi semalam.

Aktivis sosial BK Ong dan penulis blog Satish Kumar ditahan di Plaza Gurney selepas menyertai demonstrasi di Gurney Drive kira-kira jam 11.10 pagi.

Dua orang lagi Lau Shu Shi dan The Chun Hong - kedua-duanya aktivis Suaram - ditahan selepas mereka membuat laporan pois di ibu pejabat polis di Jalan Patani, George Town pada jam 2.45 petang.

Lima dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan kira-kira tujuh jam.

Bagaimanapun Lau dan Teh dilaporkan ditahan reman dan dijangka dibawa ke mahkmah untuk didakwa hari ini.

Tiga lagi yang turut dibebaskan: K Sudhagaran Stanley, M Suparamaniam dan B Vimal.

p waytha moorthy Waytha Moorthy, dalam satu kenyataannya dari London, berkata tindakan polis itu meletakkan keadaan Malaysia menuju sebuah "negara polis".

"Hindraf memberi amaran kepada kerajaan bahawa rakyat tidak boleh terus-terus diperbodohkan untuk menelan propaganda yang disebarkan oleh polis," katanya.

"Polis telah hilang kewibawaan dan keyakinan orang ramai dan kami meminta ketua polis negara bertanggungjawab atas pencabulan terang-terangan hak sah rakyat mengadakan perhimpunan aman menurut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan."

Perhimpunan tersebut, sebahagian daripada protes di seluruh negara, untuk menggesa kerajaan supaya membebaskan penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar, mendapat rawatan yang sempurna.

Beliau, yang kini ditahan bawah ISA sejak 13 Disember lalu bersama empat orang lagi pemimpin Hindraf, dikatakan mengalami masalah jantung.

Keluarganya berkata, ekoran penahanannya, paras gula dalam darah Uthayakumar ialah 13.5 sehingga menjejaskan penglihatannya, mengalami sakit dada, dan kemungkinan menjejaskan otot-otot jantungnya.

Para penyokongnya mahu kerajaan merujuknya ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Demonstrasi di Pulau Pinang itu dianjurkan bersama oleh Hindraf negeri itu, Suaram, Badan Pemantau Pulau Pinang, Pusat Perkhidmatan Pekerja Tanjung dan Gabungan Mansuhkan ISA (GMI).

Perhimpunan yang sama turut diadaan di Kuala Lumpur semalam, yang disertai oleh kira-kira 30 orang, termasuk ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, di pusat membeli-belah KLCC.

Pada 25 November lalu, Hindraf menganjurkan perhimpunan yang disertai kira-kira 30,000 orang di lokasi yang sama.

Ekoran itu, lima pemimpin Hindraf termasuk Uthayakumar ditahan di bawah ISA.

Manakala pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy kini tinggal di luar negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS