Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan laporan media bahawa beliau akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan Disember ini.
"Biar perwakilan yang menentukan...cawangan (Umno) belum bermesyuarat lagi.
"Saya tak kata nak bertanding jawatan presiden. Saya dah naib presiden Umno, apa yang boleh saya cakap.
"Terpulang kepada perwakilan dan masih terlalu awal, pemilihan pun jauh lagi," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun Umno ke-62.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik beliau sebagai berkata akan bertanding jawatan presiden Disember ini.
Beliau yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan jawatan yang beliau tandingi kali ini.
Sementara itu, menteri besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub berkata, beliau tidak mahu bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti kali ini.
Jawatan ketua Pemuda
Ketika ditanya adakah berminat bertanding jawatan ketua pemuda, ahli majlis tertinggi Umno (MT) itu berkata: "Biarlah Khairy (Jamaludin) dan Datuk Mukhriz (Mahathir) selesaikan masalah mereka dahulu."
"Biar masalah dalam Pemuda selesai dahulu. Kita jangan minta jawatan," katanya tanpa mahu menjelaskan apa yang perlu Khairy dan Mukhriz selesaikan.
Manakala bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik sedia menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib persiden dalam pemilihan Umno kali ini.
Sebelum ini beliau dilaporkan menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno yang dikosongkan oleh menteri pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
"Jawatan naib presiden membolehkan saya membawa tranformasi kepada parti setelah kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu," kata Rahim.
Rahim yang kini menjadi MT Umno pernah memegang jawatan ketua Pemuda dari 1993 tetapi melepaskannya selepas skandal seks setahun kemudian.
Mukhriz dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo kini disebut-sebut akan bertanding jawatan ketua pemuda dalam pemilihan kelak.