Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis ambil kenyataan Karpal
Diterbitkan:  May 10, 2008 6:12 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Polis hari ini mengambil keterangan daripada Pengerusi DAP Karpal Singh dalam satu siasatan mengikut Akta Hasutan.

Menurut Bernama, pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Salleh Mat Rasid berkata pihak polis telah mengambil keterangan Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor itu di pejabat pemimpin DAP itu di Jalan Green Hall di Pulau Pinang.

"Kita akan hantar kertas siasatan itu (kepada Timbalan Pendakwaraya) dalam tempoh dua atau tiga hari ini kerana kita akan cuba selesaikan siasatan seberapa segera seperti yang Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi inginkan," katanya kepada pemberita hari ini.

Ditanya sama ada Karpal akan ditahan atau didakwa, beliau berkata polis akan teliti semua laporan yang diterima dan tindakan akan diambil selepas keputusan dibuat oleh pihak Timbalan Pendakwaraya.

"Pihak pendakwaraya akan merujuk kertas siasatan itu kepada Peguam Negara, dan jika keterangan cukup, kita akan dakwa, dan (juga) sebaliknya," katanya.

Salleh berkata polis menyiasat kes itu kerana kenyataan yang dikeluarkan Karpal itu dibuat di Pulau Pinang.

"Kita siasat kes ini di sini kerana beliau keluarkan kenyataan akhbarnya di negeri ini kepada media melalui faksimili dari pejabatnya sementara bagi kes yang beliau bercakap di Parlimen, itu akan disiasat oleh polis Kuala Lumpur," katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948.

Karpal memberi keterangan selama dua jam kepada dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Timur Laut berhubung dua laporan polis yang dibuat, iaitu satu di Pasir Mas, Kelantan dan satu di Ipoh, Perak.

Laporan polis yang dibuat di Pasir Mas pada 25 April lalu adalah berhubung kenyataannya bahawa ucapan Tengku Mahkota Kelantan telah menghina kaum bukan Melayu manakala laporan yang dibuat di Ipoh pada 5 Mei lalu pula adalah mengenai kenyataannya bahawa Sultan Perak tidak mempunyai bidangkuasa terhadap pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Jamry Sury.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS